Koleksi Khas: Koronavirus (COVID-19): bukti relevan penjagaan akut dan kritikal

Pertama kali diterbitkan pada 11 Februari 2020 dan dikemas kini secara berterusan; kemas kini terakhir pada 6 Ogos 2024 (perubahan diperinci di bawah); kebanyakan ulasan dalam Koleksi Khas ini boleh diakses secara percuma

Koleksi Khas ini adalah salah satu siri koleksi COVID-19. Ia juga boleh didapati dalam bahasa Cina Mudah, Cina Tradisional, Croatia, Czech, Jerman, Farsi, Perancis, Jepun, Bahasa Malaysia, Poland, Portugis, Rusia, dan Sepanyol.

Tujuan Koleksi Khas ini adalah untuk memastikan akses segera kepada ulasan sistematik relevan yang paling berkait terus dengan pengurusan orang yang dimasukkan ke hospital dengan jangkitan respiratori akut yang teruk. Ia termasuk ulasan yang relevan dengan panduan interim WHO, ulasan yang dikenalpasti relevan oleh Penjagaan Akut dan Kecemasan Cochrane, dan dimaklumkan oleh kumpulan Cochrane di kawasan yang terlibat.

Koleksi Khas ini termasuk Ulasan Cochrane tentang topik berikut: terapi cecair dan vasopresor; sokongan respiratori dan ventilasi mekanikal; penyapihan ventilasi mekanikal; mengurus hipoksemia; rawatan farmakologi; mengurus kecelaruan; nutrisi dalam penjagaan intensif; dan diagnosis.

Walaupun ulasan dalam Koleksi Khas ini menilai intervensi yang dirujuk dalam panduan interim WHO, kebolehgunaan langsung bukti mungkin terhad oleh perkadaran rendah orang dengan jangkitan virus yang berdaftar dalam kajian-kajian primer. Kebanyakan ulasan dalam koleksi ini mempunyai Jawapan Klinikal Cochrane yang berkaitan.

Adalah penting untuk mengambil maklum ulasan yang disertakan dalam Koleksi ini meringkaskan bukti; inklusi ini tidak bermakna ia adalah rawatan yang berkesan. Beberapa ulasan yang dikemukakan di sini menegaskan kurangnya bukti berkualiti tinggi untuk memaklum pembuatan keputusan perubatan dalam konteks krisis jangkitan respiratori akut yang teruk.

Dikemas kini pada 6 Ogos 2024 dengan ulasan Cochrane baharu, 'Ketepatan ujian makmal rutin untuk meramalkan kematian dan kemerosotan kepada COVID-19 yang teruk atau kritikal pada penghidap SARS-CoV-2'.

Terapi cecair dan vasopresor

Resusitasi awal hipotensi biasanya melibatkan pemberian cecair intravena, diikuti dengan pemberian vasopresor apabila hipotensi berterusan.

Terapi cecair liberal berbanding terapi cecair konservatif dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak dengan sepsis atau kejutan septik.

Sepsis dan kejutan septik adalah komplikasi jangkitan yang berpotensi mengancam nyawa yang terkait dengan morbiditi dan mortaliti yang tinggi dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak. Terapi cecair dianggap penting semasa rawatan awal sepsis, tetapi tidak jelas sama ada terapi cecair konservatif atau liberal dapat memperbaik hasil klinikal dalam kalangan pesakit dengan sepsis. Ulasan ini menentukan sama ada terapi cecair liberal berbanding konservatif memperbaik hasil klinikal dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak dengan sepsis awal dan kejutan septik. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi kanak-kanak dengan sepsis atau kejutan septik, bagaimanakah terapi cecair liberal berbanding terapi cecair konservatif?

Koloid berbanding kristaloid untuk resusitasi cecair dalam kalangan orang yang sakit kritikal

Orang yang sakit kritikal mungkin kehilangan cecair kerana keadaan yang serius, jangkitan (contohnya sepsis), trauma, atau terbakar, dan perlukan cecair tambahan segera untuk mencegah dehidrasi atau kegagalan buah pinggang. Koloid atau larutan kristaloid boleh diguna untuk tujuan ini. Kristaloid bermolekul kecil, tidak mahal, mudah diguna tetapi boleh meningkatkan edema. Koloid bermolekul lebih besar, lebih mahal, dan boleh memberi penambahan isipadu lebih cepat di ruang intravaskular, tetapi boleh menyebabkan reaksi alahan, gangguan pembekuan darah, dan kegagalan buah pinggang. Ulasan ini menilai kesan penggunaan koloid berbanding kristaloid dalam kalangan orang yang kritikal dan perlukan penggantian isipadu cecair, terhadap mortaliti, keperluan transfusi darah atau terapi penggantian renal, dan peristiwa-peristiwa buruk. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimanakah koloid berbanding kristaloid untuk resusitasi cecair dalam kalangan orang yang sakit kritikal?

Larutan penimbal berbanding 0.9% salina untuk resusitasi dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak yang sakit kritikal

Di antara larutan-larutan kristaloid, 0.9% salina paling lazim diberi. Secara teori, larutan penimbal menawarkan beberapa kelebihan (kurang asidosis metabolik, kurang gangguan elektrolit), tetapi relevan klinikalnya tidak diketahui. Ulasan ini menilai kesan larutan penimbal berbanding 0.9% salina untuk resusitasi orang dewasa dan kanak-kanak yang sakit kritikal. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimanakah larutan penimbal berbanding 0.9% salina untuk orang sakit kritikal yang perlukan terapi cecair intravena?

Vasopresor untuk kejutan hipotensif

Walaupun terdapat kesan segera vasopresor terhadap hemodinamik, kesannya terhadap hasil relevan pesakit masih kontroversial. Ulasan ini bertujuan membandingkan kesan satu rejimen vasopresor (vasopresor sahaja, atau gabungan) berbanding rejimen vasopresor lain terhadap mortaliti dalam kalangan peserta kritikal dengan kejutan. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimana norepinefrin berbanding vasopresor lain dalam kalangan orang dengan kejutan hipotensif?

Sokongan respiratori dan ventilasi mekanikal

Pesakit dengan jangkitan respiratori akut yang teruk mungkin perlukan oksigen tambahan dan sokongan ventilasi mekanikal.

Trakeostomi awal berbanding lewat dalam kalangan pesakit COVID‐19 yang sakit kritikal

Bukti pra-pandemik tentang manfaat trakeostomi awal adalah bercanggah tetapi mencadangkan inap di hospital yang lebih pendek dan kadar mortaliti yang lebih rendah berbanding trakeostomi lewat. Begitu juga, peranan trakeostomi awal sebagai intervensi untuk pesakit COVID‐19 yang sakit kritikal adalah tidak jelas. Beberapa laporan telah menerangkan tempoh rawatan intensif yang berpanjangan dan kesukaran sapih ventiltor mekanikal, terutama bagi mereka yang mengalami sindrom distres respiratori akut. Ulasan ini bertujuan menilai manfaat dan mudarat trakeostomi awal berbanding trakeostomi lewat dalam kalangan pesakit COVID‐19 yang kritikal.

Kanula nasal aliran tinggi untuk sokongan respiratori dalam kalangan dewasa di penjagaan intensif

Kanula nasal aliran tinngi (HFNC) menyalurkan campuran udara dan oksigen lembap aliran tinggi melalui kanula nasal lubang luas dan mungkin berguna dalam menyediakan sokongan respiratori untuk pesakit dewasa yang mengalami kegagalan respiratori akut di unit penjagaan intensif (ICU). Ulasan ini menilai keberkesanan HFNC berbanding terapi oksigen standard, atau ventilasi tak invasif atau ventilasi tekanan positif tak invasif untuk sokongan respiratori dalam kalangan dewasa di ICU. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagi orang dewasa di penjagaan intensif yang perlukan sokongan respiratori, bagaimanakah kanula nasal aliran tinggi berbanding terapi oksigen standard dan ventilasi (tekanan positif) yang tak invasif (NI[PP]V)?

Sasaran oksigen di unit penjagaan intensif semasa ventilasi mekanikal untuk sindrom distres respiratori akut: ulasan pantas

Oksigen tambahan sering diberi kepada pesakit dengan sindrom distres respiratori akut (ARDS) termasuk ARDS sekunder akibat penyakit virus seperti penyakit koronavirus 19 (COVID‐19). Ulasan ini bertujuan menangani bagaimana terapi oksigen harus disasarkan dalam kalangan dewasa dengan ARDS (terutamanya ARDS sekunder COVID‐19 atau virus respiratori lain) dan memerlukan ventilasi mekanikal di unit penjagaan intensif, dan kesan terapi oksigen terhadap mortaliti, bilangan hari ventilasi, hari penggunaan catecholamine, keperluan terapi penggantian renal, dan kualiti hidup. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dengan sindrom respiratori distres akut (ARDS) yang perlukan ventilasi mekanikal, bagaimana sasaran oksigen konservatif berbanding sasaran oksigen liberal?

Pernafasan spontan awal untuk sindrom distres respiratori akut dalam kalangan individu dengan COVID-19

Sindrom distres respiratori akut (ARDS) mewakili COVID‐19 yang paling teruk, biasanya mengakibatkan tempoh tinggal berpanjangan di unit penjagaan intensif dan kadar mortaliti yang tinggi. Walaupun kebanyakan individu yang rerlibat memerlukan ventilasi mekanikal invasif (IMV), bukti tentang strategi ventilasi khusus untuk ARDS akibat COVID‐19 adalah terhad. Pernafasan spontan semasa IMV adalah sebahagian daripada konsep terapeutik yang terdiri daripada tahap sedasi ringan dan pengelakan agen penyekat neuromuskular. Pendekatan ini berpotensi dikaitkan dengan kedua-dua kelebihan dan juga risiko. Akibatnya, pernafasan spontan dalam kalangan orang dengan COVID‐19‐ARDS yang menerima IMV tertakluk kepada perdebatan berterusan dalam kalangan pakar intensif. Ulasan ini bertujuan untuk menilai manfaat dan mudarat aktiviti pernafasan spontan awal orang COVID‐19 dengan ventilasi invasif dengan ARDS berbanding strategi ventilasi yang mengelakkan pernafasan spontan. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Dalam kalangan orang dengan ventilasi invasif dengan COVID-19 dan sindrom distres pernafasan akut (ARDS), apakah kesan-kesan yang membolehkan aktiviti pernafasan spontan awal?

Ujian pemeriksaan fizikal saluran udara untuk mengesan pengurusan saluran udara yang sukar dalam kalangan pesakit dewasa yang kelihatan normal

Kegagalan pengurusan saluran udara dikaitkan dengan morbiditi dan mortaliti yang serius. Empat deskriptor saluran udara yang sukar adalah: ventilasi topeng muka yang sukar, laringoskopi yang sukar, intubasi trakea yang sukar, dan intubasi yang gagal. Beberapa ujian saringan sisi katil diguna dalam amalan klinikal untuk mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi saluran udara yang sukar, walaupun ketepatan dan manfaatnya tidak jelas. Ulasan ini mencirikan dan membanding ketepatan diagnostik klasifikasi Mallampati dan beberapa ujian saluran udara lazim lain yang diguna untuk menilai status fizikal saluran udara dalam kalangan pesakit dewasa tanpa keabnormalan anatomi saluran udara yang jelas. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah ketepatan ujian pemeriksaan saluran udara untuk mengesan laringoskopi sukar dalam kalangan dewasa?; Apakah ketepatan ujian Mallampati terubahsuai untuk mengesan intubasi yang sukar dalam kalangan dewasa?; dan Apakah ketepatan ujian pemeriksaan fizikal saluran udara untuk mengesan ventilasi topeng muka yang sukar dalam kalangan dewasa?

Pengendalian perekrutan orang dewasa dengan sindrom distres respiratori akut yang menerima ventilasi mekanikal

Pengendalian perekrutan melibatkan kenaikan sementara tekanan saluran udara semasa ventilasi mekanikal untuk membuka ('merekrut') unit paru-paru yang rosak dan meningkatkan bilangan alveoli yang terlibat dalam ventilasi tidal. Ia sering diguna untuk merawat pesakit dengan sindrom distress respiratori akut (ARDS) di penjagaan intensif, tetapi kesan rawatan ini terhadap hasil klinikal belum mantap. Ulasan ini bertujuan menentukan kesan pengendalian perekrutan terhadap mortaliti dalam kalangan dewasa dengan sindrom distress respiratori akut serta kesan pengendalian perekrutan terhadap pengoksigenan dan peristiwa buruk (misalnya kadar barotrauma). Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah kesan pengendalian perekrutan bagi orang dewasa dengan sindrom distres respiratori akut yang menerima ventilasi mekanikal?

Posisi separa berbaring berbanding posisi berbaring untuk pencegahan pneumonia berkaitan ventilator dalam kalangan dewasa yang perlukan ventilasi mekanikal

Pneumonia berkaitan ventilator (VAP) dikaitkan dengan peningkatan mortaliti, tempoh inap hospital yang panjang, dan peningkatan kos penjagaan kesihatan dalam kalangan pesakit kritikal. Garis panduan mengesyorkan posisi separa berbaring (30° hingga 45°) untuk mencegah VAP dalam kalangan pesakit yang perlukan ventilasi mekanikal. Walau bagaimanapun, akibat batasan metodologi dalam ulasan sistematik sedia ada, ketidakpastian masih kekal tentang manfaat dan mudarat posisi separa baring untuk mencegah VAP. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan posisi separa berbaring berbanding posisi berbaring untuk mencegah VAP dalam kalangan dewasa yang perlukan ventilasi mekanikal. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimanakah posisi separa berbaring berbanding posisi berbaring dalam kalangan dewasa yang perlukan ventilasi mekanikal?

Ventilasi tekanan terkawal berbanding ventilasi isipadu terkawal untuk kegagalan respiratori akut akibat kecederaan paru-paru akut (ALI) atau sindrom distres respiratori akut (ARDS)

Kecederaan paru-paru akut (ALI) dan sindrom distres respiratori akut (ARDS) menyumbang satu perempat kes kegagalan respiratori akut di unit penjagaan intensif (ICU) Ventilasi mekanikal orang dengan ALI/ARDS memberi masa untuk paru-paru sembuh, tetapi ia adalah invasif dan boleh mengakibatkan kecederaan paru-paru. Adalah tidak pasti sama ada kecederaan berkaitan ventilator dapat dikurangkan jika tekanan yang diberi oleh ventilator dengan setiap nafas dikawal, atau sama ada isipadu udara yang diberi oleh setiap nafas dihadkan. Ulasan ini membandingkan ventilasi tekanan terkawal dan ventilasi isipadu terkawal dalam kalangan dewasa dengan ALI/ARDS untuk menentukan sama ada ventilasi tekanan terkawal mengurangkan mortaliti dan morbiditi dalam kalangan dewasa yang diintubasi dan diventilasi di hospital. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimana ventilasi tekanan terkawal berbanding isipadu terkawal dalam kalangan orang dengan kegagalan respiratori akut atau sindrom distres?

Tekanan akhir ekspiratori positif (PEEP) tinggi berbanding rendah bagi pesakit dewasa dengan kecederaan paru-paru akut dan sindrom distres respiratori akut yang diberi ventilasi mekanikal

Mortaliti dalam kalangan pesakit dengan kecederaan paru-paru akut (ALI) dan sindrom distres respiratori akut (ARDS) kekal tinggi. Para pesakit ini perlukan ventilasi mekanikal, tetapi ini dikaitkan dengan kecederaan paru-paru akibat ventilator. Tekanan akhir ekspiratori positif (PEEP) yang tinggi dapat mengurangkan keadaan ini dan memperbaik survival pesakit. Ulasan ini menilai manfaat dan mudarat PEEP tinggi berbanding PEEP rendah dalam kalangan pesakit dengan ALI dan ARDS. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagaimanakah tekanan akhir ekspiratori positif (PEEP) tinggi berbanding rendah bagi orang dewasa dengan kecederaan paru-paru akut dan sindrom distres respiratori akut yang diberi ventilasi mekanikal

Strategi ventilasi perlindungan paru-paru untuk sindrom distres respiratori akut

Sindrom distres paru-paru akut dan kecederaan paru-paru akut boleh menjadi lebih rumit dengan kecederaan paru-paru akibat ventilator. Strategi ventilasi perlindungan paru-paru boleh memperbaik survival. Ulasan ini menilai kesan ventilasi dengan isipadu tidal yang lebih rendah terhadap morbiditi dan mortaliti pesakit berumur 16 tahun ke atas dengan sindrom distres respiratori akut dan kecederaan paru-paru akut. Ia juga menentukan sama ada perbandingan di antara isipadu tidal rendah dan konvensional adalah berbeza jika plateau tekanan saluran udara melebihi 30 hingga 35 sm H20 digunakan. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimana strategi ventilasi perlindungan berbanding ventilasi konvensional untuk orang dewasa kritikal dengan sindrom distres respiratori akut?

Gangguan sedasi harian berbanding tiada gangguan sedasi harian untuk pesakit dewasa kritikal yang perlukan ventilasi mekanikal invasif

Gangguan sedasi harian (DSI) dijangka menghadkan bioakumulasi ubat, mempromosi keadaan yang lebih sedar, dan dengan itu mengurangkan tempoh ventilasi mekanikal. Bukti sedia ada menunjukkan sama ada DSI mengurangkan, tidak mengubah, atau memanjangkan tempoh ventilasi mekanikal. Ulasan ini bertujuan membandingkan jumlah tempoh ventilasi mekanikal invasif untuk pesakit dewasa kritikal yang perlukan sedasi intravena dan diurus dengan DSI berbanding tanpa DSI. Dan juga, untuk menentukan sama ada DSI mempengaruhi mortaliti, tempoh inap di unit penjagaan intensif (ICU) dan hospital, peristiwa buruk, jumlah dos ubat sedatif yang diberi dan kualiti hidup. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimanakah gangguan sedasi harian berbanding tanpa gangguan untuk orang dewasa kritikal yang perlukan ventilasi mekanikal invasif?

Pakej penjagaan untuk memperbaik hasil pesakit COVID-19 atau keadaan yang berkaitan di penjagaan intensif - ulasan peninjauan pantas

Sindrom koronavirus 2 (SARS-CoV-2) respiratori akut yang teruk, strain koronavirus yang menyebabkan penyakit koronavirus 2019 (COVID‐19) boleh menyebabkan penyakit yang serius dalam kalangan sesetengah orang, mengakibatkan kemasukan ke unit penjagaan intensif (ICU) dan sokongan ventilasi untuk kegagalan respiratori akut. Menilai penjagaan ICU, dan apa yang berkesan dalam memperbaik hasil pesakit sangat penting. Pakej penjagaan, satu set kecil intervensi berdasarkan bukti yang disampaikan bersama secara konsisten dapat memperbaik hasil pesakit. Untuk mengenal pasti sejauh mana bukti sedia ada tentang penggunaan pakej penjagaan dalam kalangan pesakit COVID-19 di ICU, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menugaskan ulasan peninjauan untuk memaklumkan perbincangan garis panduan WHO. Ulasan ini bertujuan mengenal pasti dan menerangkan bukti sedia ada tentang penggunaan pakej penjagaan di ICU untuk pesakit COVID-19 atau keadaan berkaitan (pneumonia virus atau pneumonitis sindrom distres respiratori akut (ARDS) pneumonia), atau kedua-duanya. Dalam menjalankan ulasan, fokus adalah mencirikan bukti asas dan tidak menilai keberkesanan atau keselamatan pakej penjagaan atau komponennya. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah bukti sedia ada tentang pakej penjagaan untuk memperbaik hasil dalam kalangan orang dengan COVID-19 di unit penjagaan intensif (ICU)?

Penyapihan ventilasi mekanikal

Mengurangkan tempoh sapihan adalah wajar untuk meminimumkan potensi komplikasi ventilasi mekanikal.

Faktor-faktor yang mengimpak protokol penyapihan penggunaan ventilasi mekanikal dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak yang kritikal: satu sintesis bukti kualitatif

Kaedah untuk memperbaik proses penyapihan ventilator diperlukan kerana penggunaan ventilasi mekanikal berpanjangan dikaitkan dengan tempoh penjagaan intensif yang lebih panjang dan mortaliti yang lebih tinggi. Kesedaran tentang manfaat memahami faktor-faktor kontekstual yang mengimpak keberkesanan telah mendorong integrasi sintesis bukti kualitatif dengan ulasan keberkesanan. Ulasan ini bertujuan menyiasat faktor-faktor yang mempengaruhi bagaimana profesional penjagaan kesihatan mengguna protokol untuk penyapihan ventilasi mekanikal dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Faktor apakah yang mempengaruhi penggunaan protokol penyapihan ventilasi mekanikal bagi orang yang kritikal?

Penyapihan berprotokol berbanding tanpa protokol untuk mengurangkan tempoh ventilasi mekanikal dalam kalangan pesakit dewasa yang kritikal

Protokol penyapihan standard sepatutnya mengurangkan tempoh ventilasi mekanikal. Walau bagaimanapun, bukti yang menyokong penggunaannya dalam amalan klinikal adalah tidak konsisten. Ulasan ini membandingkan jumlah tempoh ventilasi mekanikal untuk orang dewasa kritikal yang disapih menggunakan protokol berbanding amalan biasa (tiada protokol) Ia juga menentukan perbezaan di antara hasil sapihan berprotokol dan tanpa protokol yang mengukur tempoh sapihan, mudarat (peristiwa buruk) dan penggunaan sumber (unit penjagaan intensif dan tempoh inap hospital. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimana penyapihan ventilasi mekanikal berprotokol berbanding tanpa protokol untuk orang dewasa kritikal?

Ventilasi tekanan positif tidak invasif sebagai strategi penyapihan pesakit dewasa yang diintubasi kerana kegagalan respiratori

Ventilasi tekanan positif tidak invasif (NPPV) memberi sokongan ventilatori tanpa perlunya saluran udara yang invasif. Penggunaan NPPV semakin diminati untuk memudahkan pembuangan tiub endotrakeal lebih awal dan mengurangkan komplikasi yang berkait dengan intubasi berpanjangan. Ulasan ini menentukan sama ada strategi NPPV mengurangkan mortaliti semua punca berbanding penyapihan ventilasi tekanan positif invasif. Ia juga menentukan perbezaan di antara strategi kadar kegagalan penyapihan dan pneumonia berkaitan ventilator, unit penjagaan intensif dan tempoh inap hospital, tempoh keseluruhan ventilasi mekanikal, tempoh sokongan mekanikal yang berkait dengan penyapihan, tempoh ventilasi mekanikal endotrakeal, kekerapan peristiwa buruk (berkait dengan penyapihan) dan kualiti hidup keseluruhan. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dewasa dengan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan kegagalan respiratori, bagaimana perbandingan strategi penyapihan tekanan positif (PPV) tidak invasif dan invasif?

Mengurus hipoksemia

Hipoksemia akut atau kronik adalah sebab lazim kemasukan ke penjagaan intensif dan pemberian ventilasi mekanikal. Pelbagai penyempurnaan ventilasi mekanikal atau tambahan diguna untuk memperbaik hasil pesakit.

Amaun sedutan oksigen lebih tinggi berbanding amaun lebih rendah atau sasaran pengoksigenan arteri bagi dewasa yang dimasukkan ke unit penjagaaan intensif

Rawatan teras untuk hipoksemia adalah terapi oksigen, yang diberi kepada kebanyakan orang dewasa yang dimasukkan ke unit penjagaan intensif. Pemberian oksigen adalah liberal, yang boleh mengakibatkan ‘hyperoxaemia’. Sesetengah kajian menunjukkan hubungkait antara ‘hyperoxaemia’ dan mortaliti, sementara kajian-kajian lain tidak menunjukkan demikian. Pemberian oksigen meluas disyorkan dalam garis panduan amalan klinikal antarabangsa, walaupun kurang bukti kukuh. Potensi manfaat oksigen tambahan harus dipertimbang dengan potensi kesan ‘hyperoxaemia’ yang memudaratkan dan ulasan ini menilai manfaat dan mudarat sedutan oksigen lebih tinggi berbanding sedutan lebih rendah atau sasaran pengoksigenan arteri bagi orang dewasa yang dimasukkan ke unit penjagaan intensif. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dewasa yang dimasukkan ke unit penjagaan intensif (ICU), bagaimanakah perbandingan pelbagai paras pengoksigenan?

Posisi tiarap untuk kegagalan respiratori akut dalam kalangan dewasa

Mortaliti akibat sindrom distres respiratori akut, salah satu penyumbang utama kepada keperluan ventilasi mekanikal untuk hipoksemia, kekal kira-kira 40%. Ventilasi dalam posisi tiarap boleh memperbaik mekanik dan pertukaran gas paru-paru dan memperbaik hasil. Ulasan ini menentukan sama ada ventilasi tiarap menawarkan kelebihan mortaliti berbanding ventilasi tradisional berbaring atau separa berbaring dalam kalangan pesakit dengan kegagalan respiratori akut teruk yang perlukan ventilasi tiruan konvensional invasif. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimanakah posisi tiarap berbanding posisi berbaring untuk ventilasi dalam kalangan dewasa dengan kegagalan respiratori akut yang teruk?

Pengoksigenan membran ekstrakorporeum untuk pesakit dewasa kritikal

Pengoksigenan membran ekstrakorporeum (ECMO) adalah satu bentuk sokongan hayat yang mensasarkan jantung dan paru-paru, tetapi penggunaannya dikaitkan dengan beberapa risiko ECMO untuk kegagalan respiratori yang teruk mengakses dan mengembalikan darah dari sistem vena dan menyediakan pertukaran gas bukan pulmonari. Peristiwa buruk yang berkait dengan pesakit termasuklah perdarahan atau iskemia ekstremiti; peristiwa buruk berkait dengan peredaran mungkin termasuk kegagalan pam, kegagalan oksigenator dan pembentukan trombus. Ulasan ini bertujuan menentukan sama ada penggunaan ECMO veno-vena atau vena-arteri dalam kalangan dewasa adalah lebih berkesan memperbaik survival berbanding respiratori konvensional dan sokongan jantung. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah kesan pengoksigenan membran ekstrakorporeum untuk orang dewasa kritikal dengan sindrom respiratori distres akut (ARDS)?

Farmakoterapi

Walaupun resusitasi cecair dan sokongan ventilatori adalah teras rawatan untuk pesakit jangkitan respiratori akut teruk yang perlukan penjagaan akut atau kritikal, pelbagai intervensi farmakologi dicadangkan, namun manfaat dan mudaratnya masih tidak pasti.

Favipiravir untuk merawat COVID-19

Favipiravir telah dicadangkan oleh beberapa pakar berkesan dan selamat digunakan dalam COVID‐19. Ulasan ini bertujuan menilai kesan favipiravir berbanding tiada rawatan, rawatan sokongan atau rawatan antiviral eksperimen lain dalam kalangan orang dengan COVID‐19 akut. Ulasan ini menyertakan 25 kajian dengan 5750 peserta tetapi keyakinan para penulis terhadap bukti adalah terhad. Walaupun ubat ini telah dinilai dalam kajian rawak terkawal,oleh kerana kekurangan bukti kukuh, adalah tidak jelas jika favipiravir memberi sebarang manfaat dalam rawatan orang dengan COVID-19 yang tidak perlu kemasukan ke hospital serta mereka yang dimasukkan ke hospital. Favipiravir mungkin menyebabkan kesan sampingan ringan tetapi tidak menyebabkan kesan sampingan yang besar atau teruk. Masih tidak jelas jika ia mempunyai peranan yang pasti dalam rawatan COVID‐19.

Gabungan nirmatrelvir dengan ritonavir untuk mencegah dan merawat COVID‐19

Ulasan ini bertujuan menilai keberkesanan nirmatrelvir dengan ritonavir (Paxlovid) bagi mengurangkan kematian, penyakit dan tempoh jangkitan dalam kalangan orang dengan COVID-19 yang ringan atau asimptomatik. Pertama kali terbit pada September 2020 dan dikemas kini pada November 2023, ulasan ini mendapati nirmatrelvir/ritonavir oral boleh mengurangkan risiko kematian semua punca dan kemasukan ke hospital atau kematian dalam kalangan pesakit luar COVID-19 yang berisiko tinggi dan tidak divaksin yang dijangkiti varian Delta SARS‐CoV‐2.

Agen antiplatelet untuk rawatan orang dewasa dengan COVID-19

Penyakit koronavirus 2019 yang teruk (COVID‐19) boleh menyebabkan kejadian trombotik yang membawa komplikasi teruk atau kematian. Agen antiplatelet seperti asid asetilsalisilik telah terbukti berkesan mengurangkan kejadian trombotik dalam penyakit-penyakit lain: ia mungkin mempengaruhi COVID-19 secara umum. Ulasan ini bertujuan menilai keberkesanan dan keselamatan antiplatelet yang diberi dengan penjagaan standard berbanding tiada rawatan atau penjagaan standard (dengan/tanpa plasebo) bagi orang dewasa dengan COVID‐19.

Fluvoxamine untuk rawatan COVID-19

Fluvoxamine ialah perencat pengambilan semula serotonin selektif (SSRI) yang diluluskan untuk rawatan kemurungan, kecelaruan obsesif kompulsif, dan pelbagai gangguan keresahan; ia tersedia sebagai persediaan oral. Fluvoxamine tidak diluluskan untuk rawatan jangkitan, tetapi telah diguna dalam rawatan awal orang dengan COVID-19 ringan hingga sederhana. Oleh kerana terdapat beberapa terapi yang berkesan untuk orang dengan COVID-19 dalam komuniti, ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan fluvoxamine sebagai rawatan anti-radang dan anti-virus yang mungkin untuk COVID-19. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah manfaat dan mudarat fluvoxamine untuk orang dewasa dengan COVID-19 ringan?

Intervensi untuk kawalan gejala paliatif dalam kalangan pesakit COVID-19

Individu yang meninggal dunia akibat penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) mungkin mengalami gejala distres seperti sesak nafas atau delirium. Pengurusan simptom paliatif boleh mengurangkan simptom dan memperbaik kualiti hidup pesakit. Pelbagai pilihan rawatan seperti opioid atau teknik pernafasan telah dibincang untuk kegunaan pesakit COVID-19. Walau bagaimanapun, panduan pengurusan simptom pesakit COVID‐19 dalam penjagaan paliatif sering diperoleh daripada pengalaman klinikal dan garis panduan untuk rawatan pesakit dengan penyakit lain. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan intervensi farmakologi dan bukan farmakologi untuk kawalan simptom paliatif dalam kalangan individu dengan COVID-19. Jawapan Klinikal Cochrane yang berkaitan: Bagi orang dengan COVID‐19 dan penyakit terminal, apakah kesan intervensi farmakologi untuk kawalan simptom paliatif?

Kortikosteroid sistemik untuk rawatan COVID-19: Analisis-ekuiti dan kemas kini bukti

Kortikosteroid sistemik diguna untuk merawat orang dengan COVID-19 kerana ia boleh mengatasi hiper-keradangan. Sintesis bukti sedia ada mencadangkan sedikit manfaat terhadap mortaliti. Sehingga kini, kortikosteroid sistemik adalah salah satu pilihan rawatan untuk COVID-19. Walau bagaimanapun, saiz kesan, kepastian bukti, rejimen terapi optimum, dan pemilihan pesakit yang cenderung untuk manfaat adalah faktor-faktor yang perlu dinilai. Ulasan ini bertujuan menilai sama ada kortikosteroid sistemik berkesan dan selamat dalam rawatan orang dengan COVID‐19 dan untuk mengikuti perkembangan mutakhir asas bukti menggunakan pendekatan ulasan sistematik berterusan. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dewasa yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 akut atau disyaki, apakah manfaat dan mudarat kortikosteroid sistemik?

Kortikosteroid yang disedut untuk rawatan COVID - 19

Kortikosteroid yang disedut telah terbukti untuk rawatan jangka panjang penyakit radang respiratori seperti asma atau penyakit pulmonari obstruktif kronik, dan ia telah disiasat untuk rawatan COVID-19. Tindakan anti-radang kortikosteroid yang disedut mungkin berpotensi mengurangkan risiko penyakit yang teruk akibat hiperkeradangan dalam COVID-19. Ulasan ini menilai sama ada kortikosteroid yang disedut berkesan dan selamat untuk rawatan COVID‐19, menggunakan pendekatan ulasan sistematik berterusan bagi mengekalkan bukti mutakhir. Jawapan Klinikal Cochrane yang berkaitan: Bagi orang dengan COVID-19 ringan, apakah kesan kortikosteroid sedutan?

Risiko tromboembolisme dalam kalangan pesakit dengan COVID-19 yang menggunakan kontraseptif hormon

Kontrasepsi hormon adalah ubat yang lazim, walau bagaimanapun penggunaannya adalah faktor risiko untuk trombosis. Orang dengan COVID-19 juga berisiko kejadian trombotik, tetapi tidak jelas sama ada penggunaan kontrasepsi hormon dalam kalangan wanita positif COVID-19 meningkatkan atau mengurangkan risiko tromboembolisme - tahap estrogen yang lebih tinggi mungkin melindungi daripada penyakit COVID-19 yang teruk. Bukti risiko penggunaan kontrasepsi hormon semasa pandemik COVID-19 adalah jarang. Ulasan ini bertujuan menentukan jika penggunaan kontrasepsi hormon meningkatkan risiko tromboembolisme vena dan arteri dalam kalangan wanita dengan COVID-19, dan sama ada penggunaannya meningkatkan penanda-penanda lain keterukan COVID-19 termasuk kemasukan ke hospital di unit penjagaan intensif, sindrom distres respiratori akut, intubasi, dan mortaliti. Ini adalah ulasan sistematik yang berterusan. Ada kemungkinan kesimpulan ulasan ini, termasuk anggaran kesan akan berubah apabila bukti baharu dihasilkan. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Adakah kontrasepsi hormon meningkatkan risiko tromboembolisme dalam kalangan wanita dengan COVID-19?

Ivermectin untuk mencegah dan merawat COVID-19

Ivermectin, agen antiparasit yang diguna untuk merawat serangan parasit menghalang replikasi virus in vitro. Hipotesis molekul mod tindakan antivirus ivermectin mencadangkan kesan perencatan replikasi koronavirus 2 (SAR-CoV-2) sindrom respiratori yang teruk pada peringkat awal jangkitan. Pada masa ini, bukti efikasi dan keselamatan ivermectin untuk pencegahan jangkitan SARS-CoV-2 dan rawatan COVID-19 adalah bercanggah. Ulasan ini bertujuan menilai efikasi dan keselamatan ivermectin bersama penjagaan standard berbanding penjagaan standard dengan/tanpa plasebo, atau sebarang intervensi terbukti lain bagi orang dengan COVID-19 yang menerima rawatan sebagai pesakit dalam, dan untuk pencegahan jangkitan SARS-CoV-2 (profilaksis pasca pendedahan). Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dewasa dengan gejala COVID‐19 ringan atau sederhana, apakah kesan ivermectin?

Remdesivir untuk rawatan COVID-19

Remdesivir ialah ubat antivirus yang bersifat menghalang replikasi virus SARS-CoV-2. Keputusan positif kajian awal menarik perhatian media dan membawa kepada keizinan penggunaan kecemasan remdesivir dalam COVID‐19. Kefahaman menyeluruh tentang bukti semasa kesan remdesivir sebagai rawatan untuk jangkitan SARS‐CoV‐2 berdasarkan kajian rawak terkawal (RCT) diperlukan. Ulasan ini bertujuan menilai kesan remdesivir berbanding plasebo atau penjagaan standard sahaja terhadap hasil klinikal dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan jangkitan SARS-CoV-2. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah kesan remdesivir untuk merawat COVID-19 sederhana hingga teruk? dan Bagi orang dengan jangkitan SARS-CoV-2 tanpa gejala atau COVID-19 ringan, apakah manfaat dan mudarat remdesivir?

Colchicine untuk rawatan COVID-19

COVID-19 yang teruk dan hasil klinikal yang buruk dikaitkan dengan hiperkeradangan dan nyahpengawalaturan kompleks respon imun. Colchicine ialah ubat anti-keradangan dan dianggap dapat memperbaik hasil penyakit dalam COVID-19 melalui pelbagai mekanisme anti-keradangan. Pesakit dan sistem penjagaan kesihatan perlukan lebih banyak pilihan rawatan yang baik untuk COVID‐19 dan kefahaman yang menyeluruh tentang bukti semasa. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan colchicine sebagai pilihan rawatan COVID‐19 berbanding pembanding aktif, plasebo atau penjagaan standard sahaja di sebarang persekitaran dan untuk mengekalkan bukti mutakhir menggunakan pendekatan ulasan sistematik berterusan. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah kesan colchicine untuk rawatan COVID-19 sederhana hingga teruk? dan Apakah kesan colchicine untuk rawatan COVID-19 asimptomatik atau ringan?

Perencat janus kinase untuk rawatan COVID‐19

Dengan sifat antivirus dan anti-radang yang berpotensi, perencat Janus kinase (JAK) mewakili rawatan yang berpotensi untuk jangkitan SARS-CoV-2 simptomatik. Ia mungkin memodulasi respon imun yang tinggi terhadap jangkitan SARS-CoV-2. Tambahan pula, kesan antivirus langsung telah dijelaskan. Kefahaman bukti semasa tentang efikasi dan keselamatan perencat JAK sebagai rawatan untuk penyakit coronavirus 2019 (COVID‐19) diperlukan. Ulasan ini menilai kesan perencat JAK sistemik bersama penjagaan standard berbanding penjagaan standard sahaja (bersama/tanpa plasebo) ke atas hasil klinikal dalam kalangan individu (pesakit luar atau dalam-hospital) dengan sebarang tahap keterukan COVID-19, dan untuk mengekalkan bukti mutakhir menggunakan pendekatan ulasan sistematik yang berterusan. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah kesan perencat janus kinase (JAK) untuk orang dengan COVID‐19 sederhana hingga teruk?

Antibodi monoklonal peneutralan SARS-CoV-2 untuk merawat COVID -19

Antibodi monoklonal (mAbs) ialah molekul hasilan makmal yang diperoleh daripada sel B perumah yang dijangkiti, direka untuk menyasarkan hanya satu protein spesifik. Ia telah berjaya diguna untuk merawat virus lain dan sedang disiasat sebagai terapi yang berpotensi untuk penyakit koronavirus 2019 (COVID‐19). Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan mAbs yang meneutralkan SARS-CoV-2 untuk merawat pesakit dengan COVID-19, berbanding pembanding aktif, plasebo atau tanpa intervensi, dan mengguna pendekatan ulasan sistematik berterusan untuk mengekalkan bukti mutakhir. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagi orang dewasa yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 sederhana hingga teruk, apakah kesan antibodi monoklonal yang meneutralkan SARS-CoV-2 (sendirian atau gabungan)? dan Bagi orang dewasa dengan COVID-19 asimptomatik atau ringan, apakah kesan antibodi monoklonal yang meneutralkan SARS-CoV-2 (sendirian atau gabungan)?

Penambahan Vitamin D untuk rawatan COVID-19: ulasan sistematik berterusan

Peranan penambahan vitamin D sebagai rawatan untuk COVID‐19 telah menjadi subjek perbincangan yang meluas. Sesetengah kajian menunjukkan orang yang berada di hospital dengan COVID‐19 teruk juga mempunyai tahap vitamin D yang rendah. Walau bagaimanapun, faktor risiko untuk membentuk COVID‐19 yang teruk adalah sama seperti faktor risiko mendapat kekurangan vitamin D, oleh itu sukar untuk menjelaskan jika kekurangan vitamin D itu sendiri adalah faktor risiko untuk COVID-19 yang teruk. Ulasan ini menilai sama ada penambahan vitamin D berkesan dan selamat untuk rawatan COVID‐19 berbanding pembanding aktif, plasebo atau penjagaan standard sahaja, dan menggunakan pendekatan ulasan sistematik berterusan untuk mengekalkan bukti mutakhir. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk, apakah manfaat dan mudarat penambahan vitamin D?

Agen penyekat Interleukin-6 untuk merawat COVID-19: ulasan sistematik berterusan

Agen penyekat Interleukin 6 (IL‐6) telah diguna untuk merawat penyakit koronavirus yang teruk 2019 (COVID‐19). Kesan imunosupresifnya mungkin berharga dalam kalangan pesakit COVID‐19 yang dicirikan oleh disfungsi sistem imun yang besar dengan mengawal keradangan dan mempromosi toleransi penyakit. Ulasan ini menilai kesan agen penyekat IL-6 berbanding rawatan standard sahaja atau plasebo terhadap keberkesanan dan hasil keselamatan dalam COVID‐19. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dewasa dengan COVID‐19, apakah kesan agen penyekat interleukin-6 tocilizumab dan sarilumab?

Agen penyekat interleukin-1 untuk merawat COVID-19

Agen penyekat interleukin‐1 (IL‐1) telah diguna untuk merawat penyakit koronavirus 2019 yang teruk (COVID‐19) dengan premis kesan imunomodulatorinya yang mungkin bermanfaat dalam kalangan orang dengan COVID‐19. Ulasan ini menilai kesan agen penyekat IL-1 berbanding rawatan standard sahaja atau plasebo terhadap keberkesanan dan hasil keselamatan dalam kalangan orang dengan COVID‐19. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dengan COVID-19 sederhana, teruk atau kritikal, apakah kesan agen penyekat interleukin 1 (IL-1) (anakinra atau canakinumab)?

Klorokuin atau hidroksiklorokuin untuk pencegahan dan rawatan COVID‐19

Pandemik penyakit koronavirus 2019 (COVID‐ 19) telah mengakibatkan mortaliti yang besar. Beberapa pakar mencadangkan Klorokuin (CQ) dan hidroksiklorokuin (HCQ) untuk merawat atau mencegah penyakit ini. Keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan ini telah dinilai dalam kajian rawak terkawal. Ulasan ini bertujuan menilai kesan CQ atau HCQ untuk merawat orang dengan COVID‐19 terhadap kematian dan masa klearans virus; mencegah jangkitan dalam kalangan orang yang berisiko SARS CoV‐2; dan mencegah jangkitan dalam kalangan orang yang terdedah kepada SARS‐CoV‐2. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dewasa dengan penyakit koronavirus 2019 (COVID‐19), apakah manfaat dan mudarat hidroksiklorokuin?

Agen farmakologi untuk dewasa dengan sindrom distres respiratori akut

Sindrom respiratori distres akut (ARDS) adalah keadaan yang mengancam nyawa akibat kecederaan langsung atau tidak langsung kepada paru-paru. Ulasan ini menilai keberkesanan agen farmakologi dalam kalangan dewasa dengan ARDS terhadap mortaliti, ventilasi mekanikal, dan kecergasan untuk kembali bekerja pada 12 bulan. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah kesan agen farmakologi untuk orang dewasa dengan sindrom respiratori distres akut (ARDS)?

Antikoagulan untuk orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID‐19

Manifestasi utama COVID-19 ialah ketidakcukupan respiratori yang juga berkait dengan mikrotrombosis pulmonari difus dan kejadian tromboemboli seperti embolisme pulmonari, trombosis vena dalam atau trombosis arteri. Orang dengan COVID‐19 yang mengalami tromboembolisme menunjukkan prognosis yang lebih teruk. Antikoagulan seperti heparinoid (heparin atau pentasakarida), antagonis vitamin K dan antikoagulan langsung diguna untuk pencegahan dan rawatan tromboembolisme vena atau arteri. Selain sifat antikoagulannya, heparinoid mempunyai potensi anti-radang tambahan. Walau bagaimanapun, manfaat antikoagulan untuk orang dengan COVID‐19 masih diperdebatkan. Ulasan ini bertujuan menilai kesan antikoagulan profilaksis berbanding pembanding aktif, plasebo atau tiada intervensi terhadap kematian dan keperluan sokongan respiratori dalam kalangan orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimanakah antikoagulan dos tinggi berbanding dos lebih rendah untuk orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk?

Plasma pemulihan untuk orang dengan COVID-19: ulasan sistematik berterusan

Plasma pemulihan mungkin mengurangkan mortaliti dalam kalangan pesakit dengan penyakit respiratori virus dan sedang disiasat sebagai terapi yang berpotensi untuk penyakit koronavirus 2019 (COVID‐19). Ulasan ini bertujuan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan transfusi plasma pemulihan dalam rawatan orang dengan COVID-19.

Imunoglobulin hiperimun untuk orang dengan COVID-19

Imunoglobulin hiperimun mengandungi antibodi poliklonal yang boleh disediakan daripada amaun besar plasma pemulihan terkumpul atau disediakan daripada sumber haiwan melalui imunisasi. Ia sedang disiasat sebagai terapi yang berpotensi untuk COVID-19. Ulasan ini adalah sebahagian daripada ulasan utama yang menangani kedua-dua plasma pemulihan dan imunoglobulin hiperimun dan dipecahkan untuk menangani hIVIG dan plasma pemulihan secara berasingan. Ulasan sistematik berterusan ini bertujuan untuk menilai manfaat dan mudarat terapi imunoglobulin hiperimun untuk rawatan orang dengan COVID-19. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah manfaat dan mudarat imunoglobulin hiperimun (hIVIG) daripada plasma manusia untuk merawat orang dewasa dengan COVID‐19 sederhana/teruk? dan Bagi orang dewasa dengan COVID‐19 sederhana/teruk, apakah kesan imunoglobulin hiperimun, khususnya antibodi poliklonal kuda (EpAbs)?

‘Immunonutrition’ untuk sindrom respiratori distres akut (ARDS) dalam kalangan dewasa

Sindrom distres respiratori akut (ARDS) adalah proses keradangan sistemik besar yang dikaitkan dengan morbiditi dan mortaliti yang ketara. Farmakoterapi yang menyederhanakan keradangan dalam ARDS masih kurang. Beberapa kajian telah menilai kesan-kesan pharmaconutrient yang diberi sebagai sebahagian daripada formula pemakanan atau sebagai tambahan nutrisi terhadap hasil klinikal penyakit kritikal dan ARDS. Ulasan ini secara kritikal menilai bukti sedia ada tentang kesan ‘immunonutrition’ berbanding formula pemakanan standard bukan ‘immunonutrition’ bagi orang dewasa ARDS dengan ventilasi mekanikal. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagi orang dewasa dengan sindrom distres respiratori akut (ARDS) yang diventilasi mekanikal, bagaimanakah ‘immunonutrition’ berbanding formula pemakanan standard?

Antibiotik untuk rawatan COVID-19

Kesan antibiotik dengan potensi sifat antivirus dan anti-keradangan sedang disiasat dalam kajian klinikal sebagai rawatan untuk COVID-19. Antibiotik diguna dengan niat-untuk-merawat penyakit virus dan bukan terutamanya untuk merawat jangkitan bersama bakteria dalam kalangan individu dengan COVID-19. Kefahaman menyeluruh bukti semasa tentang keberkesanan dan keselamatan antibiotik sebagai rawatan antivirus untuk COVID-19 berdasarkan kajian rawak terkawal (RCT) diperlukan. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan antibiotik berbanding satu sama lain, tiada rawatan, penjagaan standard sahaja, plasebo atau sebarang intervensi aktif lain yang terbukti keberkesanannya untuk rawatan pesakit luar dan pesakit dalam COVID-19. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan Bagi orang dewasa dengan COVID‐19 asimptomatik atau ringan, apakah kesan azithromycin? dan Bagi orang dewasa yang dimasukkan ke hospital dengan COVID‐19 sederhana hingga teruk, apakah kesan azithromycin?

Terapi antibiotik jangka pendek berbanding terapi jangka panjang untuk pneumonia perolehan hospital dalam kalangan dewasa yang kritikal

Pneumonia adalah jangkitan perolehan hospital yang paling lazim mempengaruhi pesakit di unit penjagaan intensif. Walau bagaimanapun, garis panduan nasional semasa untuk rawatan pneumonia perolehan hospital (HAP) berusia beberapa tahun dan diagnosis pneumonia dalam kalangan pesakit ventilasi mekanikal (VAP) telah mendapat perhatian semasa. Tempoh optimum terapi antibiotik bagi HAP dalam kalangan pesakit kritikal adalah tidak pasti. Ulasan ini menilai keberkesanan terapi antibiotik jangka pendek dan jangka panjang untuk HAP dalam kalangan dewasa yang kritikal termasuk pesakit dengan VAP. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Rejimen manakah yang paling berkesan untuk memperbaik hasil dalam kalangan dewasa kritikal dengan pneumonia perolehan hospital: terapi antibiotik jangka pendek atau jangka panjang?

Antibiotik untuk pneumonia perolehan komuniti dalam kalangan kanak-kanak

Pneumonia akibat bakteria patogen adalah sebab utama mortaliti dalam kalangan kanak-kanak di negara berpendapatan rendah. Pemberian awal antibiotik memperbaik hasil. Ulasan ini bertujuan mengenal pasti terapi ubat antibiotik yang berkesan untuk pneumonia perolehan komuniti pelbagai keterukan dalam kalangan kanak-kanak dengan membandingkan pelbagai antibiotik. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan pneumonia perolehan komuniti, bagaimanakah pelbagai antibiotik berbanding antara satu sama lain? Dan dalam kalangan kanak-kanak dengan pneumonia perolehan komuniti di persekitaran ambulatori, apakah kesan antibiotik oral?

Antibiotik perlindungan empirik patogen atipikal bagi pneumonia perolehan komuniti dalam kalangan dewasa di hospital

Pneumonia perolehan komuniti (CAP) adalah disebabkan oleh pelbagai patogen, secara tradisional dibahagikan kepada 'tipikal' dan 'atipikal'. Rawatan antibiotik awal CAP biasanya empirik, lazimnya merangkumi kedua-dua patogen tipikal dan atipikal Ulasan ini bertujuan menganggar mortaliti dan kadar kegagalan rawatan menggunakan rejimen yang mengandungi liputan antibiotik atipikal berbanding yang meliputi tipikal sahaja. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Dalam kalangan dewasa dengan pneumonia perolehan komuniti di hospital, adakah bukti kajian rawak terkawal untuk menyokong penggunaan antibiotik perlindungan atipikal empirik berbanding antibiotik perlindungan tipikal?

Gabungan herba Cina dengan perubatan Barat untuk sindrom respiratori akut teruk (SARS)

Sindrom respiratori akut teruk (SARS) adalah penyakit respiratori akut akibat koronavirus baharu, yang pertama muncul di Bandar Foshan, China pada 22 Disember 2002. Herba Cina diguna dalam rawatannya. Ulasan ini menilai kemungkinan keberkesanan dan keselamatan herba Cina yang digabung dengan perubatan Barat berbanding perubatan Barat sahaja untuk pesakit SARS. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah manfaat dan mudarat herba Cina yang digabung dengan perubatan Barat untuk orang dengan sindrom respiratori akut yang teruk (SARS)?

Mengurus delirium

Delirium ditakrif sebagai gangguan perhatian, kesedaran, dan kognisi, dengan kurang keupayaan untuk mengarahkan, memfokus, mengekalkan, dan mengalih perhatian dan kekurangan orientasi kepada persekitaran.

Intervensi farmakologi untuk rawatan delirium dalam kalangan dewasa yang kritikal

Delirium biasanya adalah masalah kognitif akut berbalik, dan kehadirannya dikaitkan dengan impak yang memusnahkan terhadap kedua-dua hasil jangka pendek dan jangka panjang bagi pesakit kritikal. Terdapat banyak ketidakpastian tentang manfaat relatif dan keselamatan intervensi farmakologi sedia ada untuk populasi ini. Ulasan ini menilai kesan intervensi farmakologi rawatan delirium terhadap tempoh delirium dalam kalangan dewasa kritikal yang disahkan atau didokumen berisiko tinggi untuk delirium. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah manfaat dan mudarat intervensi farmakologi untuk merawat orang dewasa kritikal dengan delirium?

Intervensi untuk mencegah delirium dalam kalangan pesakit dewasa di unit penjagaan intensif

Pesakit kritikal di unit penjagaan intensif (ICU) kerapkali mengalami delirium ICU. Ia boleh mempengaruhi mereka dan keluarga kerana dikaitkan dengan peningkatan mortaliti, lebih lama tempoh ventilasi mekanikal, inap di hospital dan ICU dan ketakmampuan kognitif jangka panjang. Ulasan ini menilai bukti sedia ada untuk kesan intervensi pencegahan delirium ICU, mortaliti di hospital, bilangan hari bebas delirium dan hari bebas koma, hari bebas ventilator, tempoh inap di ICU dan ketakmampuan kognitif. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimanakah haloperidol berbanding plasebo untuk mencegah delirium dalam kalangan dewasa kritikal di penjagaan intensif

Nutrisi dalam penjagaan intensif

Orang yang sakit kritikal berisiko tinggi untuk malnutrisi. Penyakit akut dan kronik, trauma dan keradangan mencetus katabolisme yang berkait dengan stres, dan kesan buruk cetusan ubat akan mengurangkan selera makan atau meningkatkan rasa mual dan muntah. Di samping itu, pengurusan pesakit di unit penjagaan intensif (ICU) juga boleh mengganggu rutin makan.

Nutrisi enteral berbanding parenteral dan nutrisi enteral berbanding gabungan nutrisi enteral dan parenteral untuk orang dewasa di unit penjagaan intensif

Kaedah untuk menyampaikan keperluan nutrisi termasuklah pemberian nutrisi enteral (EN), atau nutrisi parenteral (PN), atau gabungan kedua-duanya Walau bagaimanapun, setiap kaedah bermasalah. Ulasan ini bertujuan menentukan laluan penyampaian yang mengoptimumkan pengambilan nutrisi. Ia membandingkan kesan EN dan PN, dan kesan EN berbanding gabungan EN dan PN dalam kalangan dewasa yang kritikal dari segi mortaliti, bilangan hari bebas ICU, dan peristiwa buruk. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Bagaimanakah nutrisi enteral berbanding nutrisi parenteral (dengan atau tanpa nutrisi enteral) bagi orang dewasa yang dimasukkan ke unit penjagaan intensif (ICU)?

Diagnosis

Sindrom respiratori akut koronavirus 2 yang teruk (SARS‐CoV‐2) dan pandemik COVID‐19 yang berlaku memberi cabaran diagnostik yang penting.

Obesiti sebagai faktor risiko bebas untuk keterukan dan mortaliti COVID-19

Orang dengan BMI yang sangat tinggi (> 40 kg/m2) mungkin berisiko lebih tinggi mendapat kesan buruk daripada COVIID-19 berbanding mereka dengan BMI yang rendah. Ulasan ini bertujuan untuk menilai kesan BMI yang sangat tinggi terhadap mortaliti, keperluan untuk ventilasi mekanikal, kemasukan ke hospital, kemasukan ke penjagaan intensif, penyakit yang teruk atau pneumonia dalam kalangan dewasa yang disahkan COVID-19. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagi orang dewasa dengan COVID-19, adakah obesiti mempengaruhi hasil?

COVID-19 dan kesan kardiovaskular: ulasan sistematik terhadap kajian prevalen

Sebilangan kecil orang dengan penyakit koronavirus 2019 (COVID‐19) mendapat penyakit yang teruk yang dicirikan oleh keradangan, kerosakan mikrovaskular dan koagulopati, berpotensi membawa kecederaan miokardium, tromboembolisme vena dan kejadian arteri oklusif. Orang dengan faktor risiko atau penyakit kardiovaskular sedia ada mungkin lebih berisiko. Ulasan ini menilai prevalen komorbiditi kardiovaskular sedia ada yang berkait dengan kes COVID‐19 yang sah atau disyaki di pelbagai persekitaran termasuk komuniti, rumah jagaan dan hospital. Ia juga menilai sifat dan kadar komplikasi kardiovaskular berikutan dan peristiwa klinikal dalam kalangan orang yang disyaki atau disahkan COVID‐19. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah kesan kardiovaskular COVID‐19?

Ujian antibodi untuk mengenal pasti jangkitan semasa dan jangkitan lalu SARS-CoV-2

Ulasan kemas kini ini meringkaskan bukti ketepatan ujian antibodi COVID-19; kedua-dua ujian berasaskan makmal dan ujian pantas menggunakan format aliran sisi. Cabaran diagnostik yang dikaitkan dengan pandemik COVID-19 menyebabkan perkembangan pesat kaedah ujian diagnostik untuk mengesan jangkitan SARS-CoV-2. Ujian serologi untuk mengesan kehadiran antibodi kepada SARS-CoV-2 membolehkan pengesanan jangkitan lalu dan mungkin mengesan kes jangkitan SARS-CoV-2 yang terlepas oleh ujian diagnostik awal. Memahami ketepatan diagnostik ujian serologi untuk jangkitan SARS‐CoV‐2 mungkin membolehkan pembangunan laluan diagnostik dan pengurusan yang berkesan, memaklumkan keputusan pengurusan kesihatan awam dan memahami epidemiologi SARS‐CoV‐2. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah ketepatan ujian imunoglobulin G (IgG) dan antibodi IgM untuk pengesanan jangkitan SARS‐CoV‐2 semasa? dan Apakah ketepatan ujian imunoglobulin G (IgG) dan antibodi IgM untuk pengesanan jangkitan SARS‐CoV‐2 yang lalu?

Tanda-tanda dan simptom untuk menentukan jika pesakit yang datang ke persekitaran penjagaan primer atau pesakit luar hospital ada penyakit COVID-19

Penyakit COVID-19 sangat berubah-ubah, bermula daripada jangkitan tanpa simptom hingga pneumonia dan akibat yang mengancam nyawa. Simptom seperti demam, batuk, atau kehilangan deria bau (anosmia) atau rasa (ageusia), boleh membantu menanda awal jika penyakit itu ada. Maklumat tersebut boleh diguna sama ada untuk mengetepikan penyakit COVID-19 atau untuk mengenal pasti orang yang perlu menjalani ujian diagnostik COVID-19. Ulasan ini dikemas kini dua kali sejak penerbitan pertamanya pada 2020, menilai ketepatan diagnostik tanda-tanda dan simptom untuk menentukan jika seseorang yang hadir di persekitaran penjagaan primer atau persekitaran pesakit luar di hospital seperti jabatan kecemasan atau klinik COVID‐19 khas, ada COVID‐19. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah ketepatan simptom yang ditetapkan (WHO) dan berkaitan COVID‐19 untuk diagnosis COVID‐19?

Ujian pengimejan toraks untuk diagnosis COVID‐19

Diagnosis jangkitan oleh sindrom respiratori akut koronavirus 2 (SARS-CoV‐2) yang teruk memberi cabaran besar. Transkriptase polimerase berbalik (RT‐PCR) diguna untuk mendiagnosis jangkitan semasa, tetapi kegunaannya sebagai standard rujukan dikekang oleh ralat persampelan, sensivitii yang terhad (71% hingga 98%), dan kebergantungan kepada waktu pengumpulan spesimen. Ujian pengimejan dada diguna dalam diagnosis penyakit COVID‐19 atau apabila tiada ujian RT-PCR.. Ulasan ini menentukan ketepatan diagnostik pengimejan dada (tomografi berkomputer (CT), sinar-X dan ultrasound) dalam kalangan orang yang sah atau disyaki COVID‐19. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah ketepatan tomografi dada berkomputer (CT) dan sinar-X dada untuk diagnosis COVID‐19?

Ujian makmal rutin untuk menentukan jika pesakit ada COVID-19

Ujian diagnostik spesifik untuk mengesan sindrom respiratori akut koronavirus 2 (SARS‐CoV‐2) yang teruk dan penyakit COVID‐19 berikutnya tidak selalu tersedia dan mengambil masa untuk mendapatkan keputusan. Penanda makmal rutin seperti kiraan sel darah putih, ukuran antikoagulasi, protein C‐reaktif (CRP) dan procalcitonin diguna untuk menilai status klinikal pesakit. Ujian makmal ini mungkin berguna untuk triaj orang yang berpotensi COVID‐19 bagi mengutamakan pelbagai tahap rawatan terutama dalam situasi masa dan sumber yang terhad. Ulasan ini bertujuan menilai ketepatan diagnostik ujian makmal rutin sebagai ujian triaj untuk menentukan jika seseorang ada COVID‐19. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah ketepatan perubahan kiraan sel darah putih (WBC) untuk mendiagnos COVID‐19?

Accuracy of routine laboratory tests to predict mortality and deterioration to severe or critical COVID‐19 in people with SARS‐CoV‐2

Adalah penting untuk mengenal pasti orang yang mempunyai penyakit COVID-19 yang keadaannya mungkin merosot, untuk menilai sama ada mereka perlu menerima rawatan rapi atau sama ada mereka boleh dirawat dengan cara yang kurang intensif atau melalui penjagaan pesakit luar. Ulasan ini menilai keberkesanan ujian makmal berasaskan darah rutin pada seseorang yang didiagnosis dengan jangkitan SARS-CoV-2 dan dengan COVID-19 sederhana atau ringan untuk meramalkan kemungkinan kematian mereka atau kemerosotan kepada COVID-19 yang teruk atau kritikal.

Penghargaan

Koleksi Khas ini telah dihasilkan oleh Michael Brown (Editor Kanan, Penjagaan Akut dan Kecemasan Cochrane; Editor Kanan, Peredaran dan Pernafasan Cochrane) dan Harald Herkner (Editor Koordinasi, Kecemasan dan Penjagaan Kritikal Cochrane), bekerja dengan Toby Lasserson (Timbalan Ketua Editor), Liz Bickerdike (Editor Bersekutu), Robin Featherstone (Pakar Informasi), dan Monaz Mehta (Editor) di Jabatan Editorial dan Kaedah Cochrane.

Terjemahan

Koleksi khas ini telah diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia oleh Cochrane Malaysia dan disunting oleh Noorliza Mastura Ismail pada 5 februari 2024

Kredit imej

Imej Stocktrek/Getty

Hubungi

Jabatan Editorial dan Kaedah Cochrane (emd@cochrane.org)