Pertama kali diterbitkan pada 6 Mei 2020 dan dikemas kini secara berterusan; terakhir dikemas kini pada 29 Julai 2021 (perubahan diperinci di bawah); semua ulasan dalam Koleksi Khas ini boleh diakses secara percuma
Koleksi Khas ini merupakan salah satu siri koleksi COVID-19. Ia pada asalnya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dan boleh didapati dalam Bahasa Cina Ringkas, Cina Tradisional, Farsi, Perancis, Jerman, Jepun, Bahasa Malaysia, Portugis, Rusia dan Sepanyol.
Tujuan koleksi ini adalah untuk memastikan akses segera kepada ulasan sistematik yang paling relevan berkaitan penjagaan kesihatan jarak jauh melalui teleperubatan. Langkah-langkah yang diterima pakai di peringkat antarabangsa untuk menangani penyebaran COVID-19 telah membawa perubahan signifikan bagaimana penjagaan kesihatan diakses dan disampaikan. Oleh kerana konsultasi bersemuka antara pekerja penjagaan kesihatan dan pesakit berpotensi risiko kepada kedua-dua pihak, penjagaan jarak jauh dan teleperubatan menawarkan alternatif.
Teleperubatan merujuk kepada penyediaan penjagaan kesihatan peribadi secara jarak jauh. [1] Ia merangkumi interaksi bersinkroni atau asinkroni termasuk konsultasi telefon, pesanan segera, video, pesanan teks, atau perkhidmatan berasaskan web.[2] Teleperubatan terdiri daripada tiga elemen utama: pesakit-pesakit memberi data kesihatan mereka; data dipindah kepada profesional penjagaan kesihatan secara elektronik; dan profesional penjagaan kesihatan mengguna kemahiran klinikal dan pertimbangan untuk memberi maklum balas peribadi kepada pesakit. [1,3] Walaupun teleperubatan dapat menawarkan banyak faedah kepada penyediaan penjagaan jarak jauh untuk pesakit yang memerlukan, mengaksesnya boleh menjadi cabaran signifikan kepada mereka yang paling memerlukan, termasuk orang tua, mereka daripada latar belakang sosio-ekonomi yang kurang mujur, dan mereka dengan ketidakupayaan fizikal atau pembelajaran.
Koleksi Khas ini merangkumi Ulasan Cochrane yang mengkaji penggunaan teleperubatan untuk menyokong pengurusan klinikal pelbagai keadaan kesihatan, termasuk asma, diabetes, penyakit kardiovaskular, demensia, kesihatan reproduktif, dan kanser kulit. Ia merangkumi ulasan tentang penggunaan teleperubatan untuk memberi sokongan kepada penjaga dan ibu bapa serta memperkasa pesakit mengurus sendiri masalah jangka panjang mereka. Untuk ulasan-ulasan berkaitan dengan berhenti merokok semasa pandemik, anda boleh merujuk kepada Koronavirus (COVID-19): pilihan efektik untuk berhenti merokok semasa pandemik.
Dikemas kini 29 Julai 2021: menambah Ulasan Cochrane 'Maklumat, latihan dan sokongan tidak formal yang disampaikan dari jauh untuk para penjaga orang dengan demensia', dan 'Penilaian ketepatan ujian diagnostik telekesihatan untuk demensia dan gangguan kognitif ringan' serta terjemahan tambahan ke dalam Bahasa Cina Tradisional
Sistem komunikasi untuk memudahkan penjagaan kesihatan secara jarak jauh
Sistem komunikasi telefon automatik (ATCS) boleh menyampaikan mesej suara dan mengumpul maklumat kesihatan yang berkaitan dengan kesihatan daripada pesakit-pesakit menggunakan pad kekunci nada sentuh atau perisian pengenalan suara telefon. ATCS boleh menambah atau mengganti hubungan telefon antara profesional kesihatan dan pesakit. Ulasan ini menilai kesan ATCS dalam mencegah penyakit dan mengurus masalah jangka panjang terhadap perubahan tingkah laku, klinikal, proses, kognitif, hasil terhadap pesakit, dan hasil buruk. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Adakah sistem komunikasi telefon automatik (ATCS) meningkatkan kadar imunisasi? dan Adakah sistem komunikasi telefon automatik (ATCS) memperbaik kadar saringan kanser?
Mengekalkan penjagaan orang sakit dalam komuniti banyak bergantung kepada sokongan penjaga yang tidak bergaji. Para penjaga mungkin memain peranan menjaga di mana mereka mungkin kurang bersedia dan perlu sokongan profesional. Telefon adalah kaedah yang mudah diakses untuk memberi sokongkan tidak kira lokasi geografi. Ulasan ini menilai keberkesanan intervensi sokongan telefon yang disampaikan oleh profesional penjagaan kesihatan berbanding penjagaan biasa atau intervensi sokongan bukan berasaskan telefon untuk memberi pendidikan dan sokongan psikososial kepada penjaga tidak formal. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Apakah kesan intervensi telefon dalam memberi pendidikan dan sokongan kepada penjaga tidak formal untuk orang dewasa yang sakit?
Jenis komunikasi pelanggan sasaran yang lazim adalah mesej teks yang mengingatkan orang untuk temujanji atau mengambil ubat. Jenis lain termasuklah panggilan telefon, respon interaktif bersuara, atau mesej multimedia yang menawarkan maklumat penjagaan kesihatan, nasihat, pemantauan, dan sokongan. Ulasan ini meneroka persepsi dan pengalaman para pelanggan tentang komunikasi digital sasaran melalui peranti mudah alih topik-topik berkaitan dengan kesihatan reproduktif, ibu, bayi, kanak-kanak, atau remaja. Ringkasan ulasan: Telefon bimbit untuk komunikasi sasaran dengan pelanggan, pesakit dan awam: pertimbangan perlaksanaan; Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah persepsi dan pengalaman komunikasi digital sasaran melalui peranti mudah alih untuk kesihatan reproduktif, ibu, kanak-kanak dan remaja?
Di dalam penjagaan primer, pekerja kesihatan sering mengguna peranti mudah alih untuk mendaftar para pelanggan, menjejak kesihatan mereka, dan membuat keputusan tentang penjagaan, dan berkomunikasi dengan pelanggan dan pekerja kesihatan lain. Memahami bagaimana pekerja kesihatan dikaitkan, dan pengalaman kesihatan bergerak (mHealth), boleh membantu perlaksanaannya. Ulasan ini mensintesis bukti penyelidikan kualitatif tentang persepsi dan pengalaman pekerja kesihatan yang menggunakan teknologi mHealth untuk memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, dan membuat hipotesis mengapa sesetengah teknologi lebih berkesan berbanding yang lain. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Apakah persepsi dan pengalaman pekerja kesihatan yang mengguna teknologi mHealth untuk memberi perkhidmatan kesihatan primer? Ringkasan ulasan: Penggunaan telefon bimbit oleh pekerja kesihatan di penjagaan primer: pertimbangan perlaksanaan
Teleperubatan interaktif: kesan-kesan terhadap amalan profesional dan hasil penjagaan kesihatan
Teleperubatan ialah pengunaan sistem telekomunikasi untuk menyampaikan penjagaan kesihatan dari jarak jauh. Ia berpotensi memperbaik hasil kesihatan pesakit, akses kepada penjagaan kesihatan dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan. Ulasan ini menilai keberkesanan, kebolehterimaan dan kos TM interaktif sebagai altenatif, atau tambahan kepada penjagaan biasa (seperti penjagaan bersemuka, atau konsultasi telefon). Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Dalam kalangan orang dengan diabetes, apakah kesan-kesan teleperubatan interaktif? dan Dalam kalangan orang dengan kegagalan jantung, apakah kesan-kesan teleperubatan interaktif?
Intervensi bersemuka berbanding intervensi web 2.0 untuk mempromosi aktiviti fizikal
Intervensi bersemuka untuk mempromosi aktiviti fizikal masih popular sambil pendekatan jarak jauh dan web 2.0 pesat berkembang, tetapi kami tidak pasti pendekatan mana lebih berkesan dalam mencapai perubahan jangka panjang lestari. Ulasan ini membandingkan keberkesanan intervensi bersemuka dengan intervensi jarak jauh dan web 2.0 untuk mempromosi aktiviti fizikal dalam kalangan dewasa dalam komuniti berumur 16 tahun ke atas.
Asma dan COPD
Telepemantauan di rumah dan maklum balas jarak jauh antara lawatan-lawatan klinik untuk asma
Pengurusan sendiri asma yang dipermudah oleh profesional penjagaan kesihatan adalah penting untuk mengawal gejala dan mencegah eksaserbasi. Teknologi telefon dan internet kini boleh diguna oleh pesakit-pesakit untuk mengukur fungsi paru-paru dan gejala asma di rumah. Para pesakit boleh berkongsi maklumat ini secara elektronik dengan pemberi penjagaan kesihatan mereka, yang boleh memberi maklum balas antara lawatan-lawatan klinik. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan telepemantauan di rumah dengan maklum balas profesional penjagaan kesihatan antara lawatan-lawatan klinik, berbanding penjagaan biasa. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Apakah manfaat dan mudarat telepemantauan di rumah dan maklum balas jarak jauh antara lawatan-lawatan klinik dalam kalangan orang dengan asma?
Pemeriksaan jarak jauh berbanding dengan pemeriksaan bersemukaan untuk penyakit asma
Pemeriksaan asma secara regular dengan profesional penjagaan kesihatan adalah penting untuk memantau gejala dan menyesuaikan ubat. Pemeriksaan jarak jauh mungkin mewakilkan kaedah tiada gangguan dan efektif dalam mengekalkan hubungan dengan para pesakit, tetapi tidak pasti sama ada cara pemeriksaan ini berkesan atau sama ada cara ini mungkin membawa konsekuens negatif yang tidak dijangka. Ulasan ini menilai keselamatan dan keberkesanan melakukan pemeriksaan asma secara jarak jauh berbanding konsultasi bersemuka biasa. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Bagaimanakah pemeriksaan jarak jauh berbanding pemeriksaan bersemuka dalam kalangan orang dengan asma?
Ciri-ciri penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) ialah obstruksi aliran udara akibat respon keradangan paru-paru abnormal terhadap zarah atau gas berbahaya, misalnya asap rokok. Penyelidikan di dekad yang lalu memfokus kaedah inovatif untuk mengembangkan teknologi pembolehan dan bantuan yang mempermudah pengurusan sendiri pesakit. Ulasan ini menilai keberkesanan intervensi yang disampaikan melalui komputer dan teknologi mudah alih berbanding dengan intervensi bersemuka atau salinan keras/intervensi dokumentari digital, atau kedua-duanya, dalam mempermudh, menyokong, dan mengekalkan pengurusan sendiri dalam kalangan orang dengan COPD. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Adakah intervensi teknologi pintar memudahkan pengurusan sendiri untuk orang dengan penyakit paru obstruktif kronik (COPD)?
Berkongsi membuat keputusan untuk orang dengan asma
Orang dengan asma mungkin boleh dibantu untuk mengurus keadaan mereka dengan membuat keputusan bersama (SDM) . SDM melibatkan sekurang-kurangnya dua peserta (pengamal perubatan dan pesakit) dan amalan berkongsi maklumat termasuk nilai dan keutamaan pesakit, untuk mencapai konsensus tentang rawatan pilihan yang menjurus kepada tindakan yang dipersetujui. Pengurusan sendiri yang berkesan adalah sangat penting untuk orang dengan asma, dan SDM mungkin memperbaik hasil klinikal dan kualiti hidup dengan mendidik dan memperkasa pesakit untuk terlibat secara aktif dalam kesihatan mereka sendiri. Ulasan ini menilai manfaat dan potensi mudarat berkongsi membuat keputusan dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak dengan asma. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Bagi orang dengan asma, bagaimanakah berkongsi membuat keputusan mempengaruhi hasil
Kanser
Intervensi telefon untuk pengurusan gejala dalam kalangan dewasa dengan kanser
Orang dengan kanser mengalami pelbagai gejala akibat penyakit mereka dan terapi yang terlibat dalam pengurusannya. Kekurangan pengurusan gejala mempunyai implikasi terhadap hasil pesakit termasuk fungsi, kesejahteraan psikologi, dan kualiti hidup. Intervensi yang disampaikan melalui telefon telah berkembang untuk memberi sokongan pengurusan pelbagai gejala kanser. Ulasan ini menilai keberkesanan intervensi yang disampaikan melalui telefon untuk mengurangkan gejala yang berkait dengan kanser dan rawatannya. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Bagi orang dewasa dengan kanser, apakah kesan intervensi telefon yang bertujuan mengurangkan gejala kanser?
Keadaan kardiovaskular
Hampir 100 juta orang di seluruh dunia dijangka menghidap penyakit kardiovaskular (CVD) . Orang dengan penyakit kardiovaskular mungkin lima kali lebih tinggi menderita kejadian kardiovaskular berulang berbanding orang tanpa CVD. Pencegahan sekunder CVD didefinisi sebagai tindakan yang bertujuan untuk mengurangkan kebarangkalian perulangan kejadian tersebut. Kepatuhan ubat-ubatan yang disyorkan masih tidak optimal. Untuk mempengaruhi ketidakpatuhan, intervensi perubahan tingkah laku secara berskala dan kos-efektif perlu dibangunkan. Ulasan ini menilai kesan mesej teks telefon bimbit dalam kalangan pesakit dengan kejadian oklusif arteri terhadap kepatuhan rawatan, kejadian kardiovaskular yang fatal dan tidak fatal, dan kesan-kesan buruk. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Adakah mesej teks telefon bimbit dapat memperbaik kepatuhan ubat-ubatan untuk pencegahan sekunder penyakit kardiovaskular (CVD)?
intervensi pendidikan mHealth dalam kegagalan jantung
Kepatuhan ubat-ubatan yang dipreskrib untuk pencegahan penyakit kardiovaskular (CVD) mungkin rendah. Lebih kurang 9% kes CVD di EU disebabkan oleh kepatuhan ubat-ubatan vaskular yang rendah. Intervensi berskala dan kos rendah untuk memperbaik kepatuhan ubat-ubatan dalam pencegahan primer CVD berpotensi untuk mengurangkan morbiditi, mortaliti dan kos penjagaan kesihatan CVD. Ulasan ini bertujuan menentukan keberkesanan intervensi melalui telefon bimbit untuk memperbaik kepatuhan ubat-ubatan yang dipreskrib bagi pencegahan primer CVD dalam kalangan dewasa. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Apakah kesan-kesan intervensi berasaskan telefon bimbit terhadap pencegahan primer penyakit kardiovaskular (CVD)?
Dalam konteks dana kesihatan yang terhad dan populasi orang tua yang pesat berkembang, adalah semakin sukar bagi sistem penjagaan kesihatan untuk memberi rawatan berkualiti tinggi kepada mereka dengan kegagalan jantung. Para pesakit mungkin tidak rela atau tidak dapat kerap menghadiri klinik akibat kos, kesukaran pengangkutan atau ketidakupayaan dan kelemahan. Sokongan telefon berstruktur dan telepemantauan boleh menyedia penjagaan khas kegagalan jantung kepada orang dengan akses terhad kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan. Ulasan ini menilai kajian-kajian rawak terkawal sokongan telefon berstruktur atau telepemantauan tidak invasif di rumah berbanding rawatan standard dalam kalangan orang dengan kegagalan jantung untuk mengukur kesan intervensi tersebut berbanding penjagaan biasa. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Apakah manfaat dan mudarat sokongan telefon berstruktur atau telepemantauan tidak invasif di rumah dalam kalangan pesakit dengan kegagalan jantung
Keadaan-keadaan kesihatan mental dan neurologi
Ketepatan ujian diagnostik penilaian telekesihatan untuk demensia dan gangguan kognitif ringan
Berjuta-juta orang dengan demensia di seluruh dunia tidak didiagnos, ini memberi impak negatif akses mereka kepada penjagaan dan rawatan serta perancangan perkhidmatan yang rasional. Telekesihatan - penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan jarak jauh mungkin merupakan cara untuk meningkatkan akses kepada penilaian pakar bagi orang yang disyaki demensia, terutama mereka yang tinggal di kawasan terpencil atau luar bandar. Ia juga banyak diguna semasa pandemik COVID-19. Adalah penting untuk tahu sama ada diagnosis yang dibuat menggunakan penilaian telekesihatan adalah tepat seperti yang dibuat di persekitaran klinikal konvensional bersemuka dan ulasan ini menilai ketepatan diagnostik penilaian telekesihatan untuk demensia dan gangguan kognitif ringan.
Penjaga orang dengan demensia, mungkin mengalami pelbagai mudarat fizikal, emosi, kewangan dan sosial, yang sering digambarkan secara kolektif sebagai beban penjaga. Intervensi psikopendidikan mungkin mencegah atau mengurangkan beban penjaga dan bertujuan memperbaik pengetahuan penjaga tentang penyakit dan penjagaannya; meningkatkan kompetensi penjaga dan keupayaan mereka menangani situasi sukar; melegakan perasaan terasing dan membolehkan penjaga mengurus keperluan emosi dan fizikal mereka sendiri. Intervensi yang disampaikan dari jauh menggunakan bahan bercetak, teknologi telefon atau video mungkin sesuai untuk penjaga yang sukar mengakses perkhidmatan bersemuka kerana masalah kesihatan mereka sendiri, akses pengangkutan yang kurang baik atau ketiadaan pengganti. Semasa pandemik COVID-19, langkah-langkah pembendungan di kebanyakan negara memerlukan orang diasingkan di rumah mereka, termasuk orang dengan demensia dan penjaga mereka dan dalam keadaan sedemikian, tiada alternatif untuk penyampaian intervensi jarak jauh. Ulasan ini menilai efikasi dan kebolehterimaan intervensi jarak jauh yang bertujuan mengurangkan beban dan memperbaik mood dan kualiti hidup penjaga tidak formal orang dengan demensia. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagi penjaga tidak formal orang dengan demensia, apakah kesan maklumat, latihan dan sokongan yang disampaikan dari jauh?
Perkhidmatan kejururawatan khas di rumah untuk kanak-kanak dengan penyakit akut dan kronik
Perkhidmatan kejururawatan khas di rumah telah diusulkan sebagai kaedah berkos efektif dalam mengurangkan distres akibat kemasukan ke hospital, sementara meningkatkan standard penjagaan primer dan mengurangkan tempoh inap di hospital. Ulasan ini menilai perkhidmatan kejururawatan khas di rumah dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit-penyakit akut dan kronik. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah kesan perkhidmatan khas kejururawatan di rumah bagi kanak-kanak dengan penyakit akut dan kronik?
Terapi psikologi secara tradisional disampaikan bersemuka oleh seorang ahli terapi adalah berkesan mengurangkan intensiti sakit dan ketidakupayaan. Terapi yang disampaikan dari jarak jauh seperti melalui internet, program berasaskan komputer dan aplikasi telefon pintar, boleh diguna untuk memberi rawatan kepada kanak-kanak dan remaja dengan sakit kronik. Ulasan ini menentukan efikasi terapi psikologi yang disampaikan dari jarak jauh berbanding senarai tunggu, rawatan biasa, atau rawatan kawalan aktif untuk pemgurusan sakit kronik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Adakah terapi kognitif tingkah laku (CBT) yang disampaikan dari jarak jauh dapat membantu kanak-kanak dan remaja mengurus sakit kronik?
Telerehabilitasi untuk orang dengan sklerosis multipel
Telerehabilitasi ialah kaedah baru muncul yang memperluas penjagaan rehabilitatif di luar hospital dan mempermudah pendekatan psikoterapi pelbagai aspek dalam pengurusan moden pesakit-pesakit dengan mengguna teknologi telekomunikasi di rumah atau dalam komuniti. Ulasan ini menyelidik keberkesanan dan keselamatan intervensi telerehabilitasi dalam kalangan orang dengan sklerosis multipel untuk memperbaik hasil pesakit. Jawapan Klinikal Berkaitan Apakah kesan telerehabilitasi bagi orang-orang dengan sklerosis multipel?
Perkhidmatan telerehabilitasi untuk strok
Penggunaan telerehabilitasi semakin berdaya maju kerana kelajuan dan kecanggihan teknologi komunikasi. Ulasan ini menentukan sama ada telerehabilitasi dapat memperbaik kemampuan menjalankan aktiviti harian dalam kalangan mangsa strok apabila dibanding dengan rehabilitasi bersemuka atau tanpa rehabilitasi atau penjagaan biasa. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagi orang dengan strok, bagaimanakah telerehabilitasi berbanding penjagaan biasa?
Strategi terbukti yang boleh mengurangkan tahap pengambilan alkohol berlebihan ialah dengan menawarkan intervensi berasaskan perbualan ringkas di persekitaran penjagaan primer, tetapi inovasi teknologi terkini membolehkan orang berinteraksi secara langsung melalui komputer, peranti mudah alih atau telefon pintar dengan intervensi digital yang direka untuk mengatasi masalah pengambilan alkohol. Ulasan ini menilai keberkesanan dan kos efektif intervensi digital untuk mengurangkan bahaya pengambilan alkohol, masalah berkaitan alkohol, atau kedua-duanya, dalam kalangan orang di dalam komuniti. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Bagaimanakah intervensi digital peribadi dapat mengurangkan bahaya pengambilan alkohol berbanding tanpa intervensi/intervensi minimum dalam kalangan populasi dalam komuniti?
Teknologi bantuan untuk sokongan memori dalam demensia
Minat yang lestari dalam teknologi bantuan elektronik penjagaan demensia didorong oleh keperluan mendesak untuk membangun pendekatan yang berguna bagi membantu menyokong orang dengan demensia di rumah. Kos rendah dan ketersediaan meluas peranti elektronik juga menjadikannya lebih sesuai guna untuk manfaat orang kurang upaya. Ulasan ini menilai efikasi teknologi bantuan untuk sokongan memori dalam kalangan orang dengan demensia dari segi prestasi harian aktiviti peribadi dan aktiviti instrumental harian, tahap kebergantungan, dan kemasukan penjagaan jangka panjang.
Efikasi dan pengalaman kaunseling telefon untuk penjaga tidak formal orang dengan demensia
Penjaga tidak formal orang dengan demensia boleh mengalami gejala kemurungan, distres emosi dan kesan-kesan fisiologi, sosial dan kewangan lain. Ulasan ini bertujuan menghasilkan ulasan kuantitatif tentang efikasi kaunseling telefon untuk penjaga tidak formal orang dengan demensia, mensintesis kajian kualitatif yang meneroka pengalaman penjaga yang menerima kaunseling telefon dan pengalaman kaunselor yang menjalankan kaunseling telefon dan mengintegrasikannya untuk mengenal pasti aspek-aspek intervensi yang bernilai dan berfungsi baik, dan komponen intervensi yang perlu diperbaik atau direka semula. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah kesan kaunseling telefon untuk penjaga tidak formal orang dengan demensia?
Keadaan-keadaan yang berkait dengan gangguan genetik
Bago orang dengan talasemia, transfusi sel darah merah jangka panjang masih menjadi terapi utama yang boleh menyebabkan zat besi berlebihan dan mengakibatkan komplikasi dan kerosakan teruk pelbagai organ badan. Terapi kelasi zat besi jangka panjang penting untuk mengurangkan proses bebanan zat besi yang berterusan dalam kalangan orang dengan talasemia. Tambahan juga kepatuhan suboptimal boleh meningkatkan kejadian buruk berkaitan dengan zat besi berlebihan dan meningkatkan morbiditi, mortaliti, penggunaan penjagaan kesihatan dan kos penjagaan. Ulasan ini bertujuan untuk mengenalpasti dan menilai kesan-kesan intervensi teknologi komputer dan mudah alih yang direka bentuk untuk mempermudah kepatuhan ubat-ubatan dan pengurusan penyakit dalam kalangan individu dengan talasemia.
Keadaan-keadaan abdominal dan endokrin
Program pendidikan pesakit berstruktur dapat mengurangkan risiko komplikasi berkaitan diabetes empat kali ganda. Program pengurusan sendiri berasaskan internet telah menunjukkan keberkesanan sesetengah keadaan jangka panjang tetapi masih tidak jelas apakah komponen penting atau berkesan program-program tersebut. Ulasan ini menilai kesan terhadap status kesihatan dan kualiti hidup kesihatan intervensi pengurusan sendiri berasaskan komputer dalam kalangan dewasa dengan diabetes mellitus jenis 2. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagi orang dewasa dengan diabetes mellitus jenis 2, apakah kesan intervensi pengurusan sendiri diabetes berasaskan komputer?
Intervensi eKesihatan untuk orang dengan penyakit buah pinggang kronik
Penyakit buah pinggang kronik dikaitkan dengan morbiditi dan kematian yang tinggi, ia semakin meningkat sambil penyakit buah pinggang progres ke peringkat terminal. Terdapat peningkatan penggunaan teknologi di seluruh dunia kerana bertambahnya minat dalam penggunaan intervensi eKesihatan untuk memperbaik akses kepada maklumat kesihatan yang relevan, mempertingkat kualiti penjagaan kesihatan dan menggalak adopsi tingkah laku yang sihat. Ulasan ini bertujuan menilai manfaat dan mudarat penggunaan intervensi eKesihatan untuk mengubah tingkah laku kesihatan dalam kalangan orang dengan penyakit buah pinggang kronik. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Apakah kesan Intervensi eKesihatan bagi orang dengan penyakit buah pinggang kronik
Keadaan-keadaan kesuburan, kehamilan dan neonatal
Sokongan telefon untuk wanita semasa hamil dan enam minggu pertama lepas bersalin
Terdapat bukti yang menunjukkan sokongan telefon mungkin bermanfaat dalam bidang spesifik penjagaan bersalin, seperti sokongan penyusuan dan wanita yang berisiko kemurungan. Ulasan ini menilai kesan-kesan sokongan telefon semasa hamil dan enam minggu pertama selepas bersalin berbanding rawatan rutin terhadap hasil ibu dan bayi. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah kesan sokongan telefon untuk wanita semasa hamil dan enam minggu pertama selepas bersalin?
Beban global kesihatan ibu, neonatal dan anak yang rendah (MNCH) menyumbang lebih seperempat kehilangan tahun hidup yang sihat di seluruh dunia. Komunikasi pelanggan sasaran melalui peranti mudah alih mungkin menjadi strategi yang berguna untuk memperbaik MNCH. Ulasan ini menilai kesan komunikasi pelanggan sasaran melalui peranti mudah alih terhadap tingkah laku kesihatan, penggunaan perkhidmatan, kesihatan, dan kesejahteraan MNCH. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Bagi wanita hamil dan selepas bersalin, adakah komunikasi pelanggan sasaran dapat memperbaik kesihatan ibu dan neonatal?
Teleperubatan untuk sokongan ibu bapa bayi baru lahir yang berisiko tinggi
Oleh kerana ibu bapa dan keluarga bayi yang dimasukan ke unit penjagaan intensif neonatal memerlukan banyak sokongan profesional kesihatan dari segi maklumat dan masa, teleperubatan berpotensi meningkatkan sokongan ini. Ulasan ini menilai sama ada penggunaan teknologi teleperubatan untuk menyokong keluarga yang mempunyai bayi baru lahir yang menerima penjagaan intensif mempengaruhi tempoh inap di hospital dan kepuasan ibu bapa/keluarga. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Mungkinkah teleperubatan menyediakan sokongan kepada ibu bapa bayi baru lahir yang berisiko tinggi?
Intervensi berasaskan telefon bimbit untuk memperbaik penggunaan kontrasepsi
Kontrasepsi menyediakan manfaat yang signifikan kepada kesihatan wanita dan kanak-kanak. Intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit terbukti berkesan dalam bidang kesihatan lain, tetapi kesannya terhadap penggunaan kontrasepsi masih tidak pasti. Ulasan ini menilai kesan-kesan intervensi berasaskan telefon bimbit untuk memperbaik penggunaan kontrasepsi. Jawapan Klinikal Cochrane berkaitan: Adakah intervensi berasaskan telefon bimbit memperbaik penggunaan kontrasepsi?
Pengguguran urus sendiri berbanding pengguguran yang diselia
Prosedur pengguguran melibatkan pemberian mifepristone diikuti dengan misoprostol atau rejimen misoprostol sahaja. Dalam pengguguran urus sendiri, ubat-ubatan diberi oleh wanita sendiri tanpa pengawasan penyedia penjagaan kesihatan dalam sekurang-kurangnya satu peringkat protokol ubat. Di persekitaran kekurangan pemberi penjagaan kesihatan, urus sendiri mungkin mengurangkan beban sistem kesihatan. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada pengguguran urus sendiri berkesan dan selamat. Ulasan ini membandingkan keberkesanan, keselamatan dan kebolehterimaan pengguguran urus sendiri berbanding pengguguran yang diselia penyedia penjagaan kesihatan di sebarang persekitaran. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Bagi wanita yang perlukan pengguguran cetusan, bagaimanakah pengguguran urus sendiri berbanding pengguguran yang diselia oleh penyedia penjagaan kesihatan?
Keadaan-keadaan mata dan penglihatan
Telerehabilitasi untuk orang dengan penglihatan rendah
Latihan rehabilitasi dan peralatan bantuan penglihatan mungkin membantu orang dengan penglihatan rendah, tetapi sesetengah orang bermasalah penglihatan mempunyai sumber terhad untuk menghadiri lawatan bersemuka di klinik rehabilitasi bagi menerima latihan mempelajari cara penggunaan peralatan bantuan penglihatan. Halangan-halangan penjagaan boleh diatasi melalui konsultasi jarak jauh berasaskan laman web (seperti telerehabilitasi). Ulasan ini membandingkan kesan-kesan telerehabilitasi dengan perkhidmatan rehabilitasi penglihatan bersemuka (seperti di pejabat atau di hospital) untuk memperbaik kualiti hidup berkaitan penglihatan dan keupayaan membaca jarak dekat dalam kalangan orang yang hilang fungsi penglihatan akibat keadaan okular.
Kesihatan reproduktif dan seksual
Beban kesihatan seksual dan reproduktif (SRH) yang kurang baik di seluruh dunia adalah besar, dan tidak seimbang mempengaruhi mereka yang tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Komunikasi pelanggan sasaran yang disampaikan melalui peranti mudah alih dapat memperbaik tingkah laku kesihatan dan penggunaan perkhidmatan yang penting bagi SRH. Ulasan ini menilai kesan komunikasi pelanggan sasaran yang disampaikan melalui peranti mudah alih terhadap pengetahuan remaja dan tingkah laku SRH remaja dan orang dewasa, penggunaan perkhidmatan kesihatan serta kesihatan dan kesejahteraan. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagi orang dewasa, adakah komunikasi pelanggan sasaran (TCC) melalui peranti mudah alih dapat membantu memperbaik kesihatan seksual dan reproduktif? dan Untuk remaja, adakah komunikasi pelanggan sasaran (TCC) melalui peranti mudah alih dapat membantu memperbaik kesihatan seksual dan reproduktif?
Keadaan-keadaan kulit
Teledermatologi untuk mendiagnos kanser kulit dalam kalangan dewasa
Melanoma dan karsinoma sel skuamus adalah kanser kulit berisiko tinggi yang berpotensi metastasis dan akhirnya menyebabkan kematian, manakala karsinoma sel basal biasanya adalah setempat dengan potensi menyusup dan merosakkan tisu sekitarnya. Teledermatologi menyediakan kaedah untuk klinisian umum mengakses pendapat pakar dermatologi tentang lesi kulit yang dianggap mencurigakan tanpa merujuk pesakit-pesakit melalui rujukan biasa. Ulasan ini menentukan ketepatan diagnostik teledermatologi untuk mengesan kanser kulit dalam kalangan dewasa, dan membandingkan ketepatan dengan kaedah diagnosis bersemuka. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Apakah ketepatan teledermatologi menggunakan imej fotografi untuk mengesan melanoma invasif atau varian melanoma intraepidermal atipikal?
Aplikasi telefon pintar untuk triaj orang dewasa dengan lesi kulit yang mencurigakan untuk melanoma
Melanoma menyumbang perkadaran kecil semua kes kanser kulit tetapi bertanggungjawab untuk kebanyakan kematian akibat kanser kulit. Pengesanan dan rawatan awal dapat memperbaik survival. Aplikasi telefon pintar mudah diakses and berpotensi memberi penilaian risiko segera tentang kemungkinan malignansi agar orang yang berisiko mendapatkan perhatian klinisian untuk penilaian lesi dengan lebih terperinci. Ulasan ini menilai ketepatan diagnosis aplikasi telefon pintar untuk mengetepikan melanoma invasif kutaneus dan varian intraepidermal melanositik atipikal dalam kalangan dewasa yang bimbang tentang lesi kulit yang mencurigakan. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Bagi orang dewasa dengan lesi kulit yang mencurigakan, bolehkah aplikasi telefon pintar mengetepikan dengan tepat melanoma invasif kutaneus dan varian intraepidermal melanositik atipikal?
Rujukan
1. McLean S, Protti D, Sheikh A. Telehealthcare for long term conditions. BMJ 2011;342:d120. https://doi.org/10.1136/bmj.d120
2. McLean S, Sheikh A. Does telehealthcare offer a patient-centred way forward for the community-based management of long-term respiratory disease? Primary Care Respiratory Journal 2009;18(3):125-6. https://doi.org/10.3132/pcrj.2009.00006
3. Sood S, Mbarika V, Jugoo S, Dookhy R, Doarn CR, Prakash N, et al. Apakah teleperubatan? Koleksi 104 perspektif penilaian setara dan teori sokong bawah. Telemedicine and e-Health 2007;13(5):573-90. https://doi.org/10.1089/tmj.2006.0073
Penghargaan
Koleksi Khas ini dibangunkan oleh Ciara Gleeson (Felo Sintesis Bukti Ireland/Pakar Klinikal Fisioterapi (respiratori), Ireland), Dr Maureen Kelly (Disiplin Amalan Umum, NUI Galway, Ireland) dengan kerjasama Toby Lasserson (Timbalan Ketua Penyunting), Robin Featherstone (Pakar Maklumat), dan Monaz Mehta (Penyunting) daripada Jabatan Editorial dan Kaedah Cochrane, dan Declan Devane (Cochrane Ireland). Rakan sekerja dari Penjagaan Akut dan Kecemasan Cochrane, Pernafasan dan Sirkulsai Cochrane, Kesihatan Mental dan Neurosains Cochrane, dan Kesihatan Awam dan Sistem Kesihatan Cochrane juga memberi input pemilihan ulasan untuk Koleksi Khas ini.
Terjemahan
Koleksi Khas ini diterjemah oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Dikemaskini oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Universiti Kolej Manipal Malaysia) pada 11/1/ 2021.
Kredit imej
AJ_Watt/Getty Images
Hubungi
Jabatan Editorial dan Kaedah Cochrane (emd@cochrane.org)