Pertama kali diterbitkan pada 06 Mei 2020 dan dikemaskini secara berterusan; terakhir dikemaskini pada 08 Jun 2021 (perubahan terperinci di bawah).
Koleksi khas ini ialah salah satu koleksi siri tentang COVID-19, dan ia akan dikemas kini jika ulasan-ulasan tambahan diterbitkan. Ia juga terdapat dalam Bahasa Cina Mudah, Farsi, Perancis, Jerman, Jepun, Korea, Bahasa Malaysia, Poland, Portugis, Rusia, dan Sepanyol.
Untuk mengurangkan penyebaran COVID-19. para pekerja di kebanyakan negara telah mengubah tabiat pekerjaan biasa dan berkerja dari rumah jika keadaan membolehkan. Bekerja di rumah sering melibatkan situasi duduk dan bekerja di komputer berpanjangan.
Koleksi Khas ini telah dibangunkan dengan kerjasama Cochrane Work dan mengumpul Ulasan Cochrane yang meringkaskan bukti mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan apabila bekerja dari rumah akibat pandemik COVID-19. Ia merangkumi ulasan sistematik yang menilai kesan-kesan intervensi berkaitan dengan mengekalkan aktiviti fizikal, mengoptimumkan persekitaran kerja, dan mencegah masalah-masalah muskuloskeletal dan mata.
Harap maklum ulasan-ulasan Cochrane yang dimasukkan dalam Koleksi Khas ini merumuskan bukti, dan kemasukannya tidak bermakna intervensi yang diulas terbukti berkesan.
Dikemas kini 8 Jun 2021: pautan tambahan ke terjemahan ke dalam Bahasa Korea
Dalam keadaan di mana gejala atau masalah muskuloskeletal berkaitan dengan pekerjaan adalah prevalen, rehat sebentar mungkin lebih baik. Umum menganggap rehat sebentar boleh memberi tempoh pemulihan untuk struktur muskuloskeletal yang tertekan semasa proses bekerja. Ulasan ini menilai keberkesanan pelbagai intervensi kerja - rehat untuk mencegah gejala dan masalah muskuloskeletal berkaitan perkerjaan dalam kalangan pekerja-pekerja yang sihat, apabila dibandingkan dengan jadual kerja - rehat konvensional atau berselang. Jawapan Klinikal Cochrane Relevan Adakah rehat kerja tambahan dapat memperbaiki gejala muskuloskeletal dan prestasi kerja?
Prevalen gejala-gejala muskuloskeletal dalam kalangan pekerja sedentari adalah tinggi. Intervensi yang mempromosi kerja berdiri atau berjalan didapati mengurangkan tempoh kerja sedentari, tetapi adalah tidak jelas sama ada intervensi ini dapat mengurangkan gejala muskuloskeletal dalam kalangan pekerja sedentari. Ulasan ini menyelidik keberkesanan intervensi tempat kerja untuk meningkatkan berdiri atau berjalan bagi mengurangkan gejala-gejala muskuloskeletal dalam kalangan pekerja sedentari. Jawapan Klinikal Cochrane Relevan Adakah intervensi di tempat kerja untuk meningkatkan berdiri dan / atau berjalan meningkatkan gejala muskuloskeletal di kalangan pekerja pejabat yang tidak aktif?
Intervensi tempat kerja untuk mengurangkan duduk semasa bekerja
Kebanyakan orang berkerja dalam pekerjaan sedentari. Kekurangan aktiviti fizikal dan amalan duduk berpanjangan di tempat kerja telah dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, obesiti, dan mortaliti semua sebab. Ulasan ini menilai keberkesanan intervensi tempat kerja untuk mengurangkan tempoh duduk semasa bekerja berbanding tiada intervensi atau intervensi alternatif. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Berbanding dengan meja duduk tradisional, adakah meja duduk boleh mengurangkan masa yang dihabiskan untuk duduk di tempat kerja? dan Bagi pekerja pejabat, apakah kesan kaunseling di tempat kerja pada masa yang dihabiskan untuk duduk?
Pencahayaan tempat kerja untuk memperbaiki kewaspadaan dan mood dalam kalangan pekerja siang hari
Pendedahan kepada cahaya memainkan peranan penting dalam proses biologi dan mempengaruhi mood dan kewaspadaan. Para pekerja mungkin terdedah kepada cahaya yang tidak cukup atau tidak sesuai pada waktu siang, menyebabkan gangguan mood dan penurunan tahap kewaspadaan. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan intervensi pencahayaan untuk meningkatkan kewaspadaan dan mood pekerja siang hari. Jawapan Klinikal Cochrane Relevan Apakah kesan perubahan pencahayaan di tempat kerja terhadap kewaspadaan dan mood pekerja siang hari?
Para pengguna komputer mungkin mengalami masalah penglihatan dan fungsi mata lain, termasuk ketegangan mata, sakit mata, sakit kepala, penglihatan berganda dan kabur, rasa terbakar, kerengsaan, kekeringan mata, dan masalah air mata. Ulasan ini menilai bukti keberkesanan, keselamatan, dan kebolehlaksanaan pembetulan optikal ralat refraktif untuk mengurangkan dan mencegah gejala-gejala mata dalam kalangan pengguna komputer. Jawapan Klinikal Cochrane Relevan Bagi pengguna komputer, bagaimana cermin mata komputer progresif untuk membetulkan kesalahan biasan dibandingkan dengan cermin mata komputer monofokal untuk orang yang menghidap presbiopia?
Masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan boleh melibatkan leher dan bahagian atas badan (bahu, lengan atas, siku, lengan bawah, pergelangan tangan, dan tangan). Ulasan ini menilai kesan-kesan fizikal, kognitif dan intervensi ergonomik organisasi, atau gabungan intervensi-intervensi tersebut, untuk mencegah masalah bahagian atas badan dan leher berkaitan pekerjaan dalam kalangan pekerja pejabat. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan: Apakah kesan peralatan ergonomik untuk pencegahan gangguan muskuloskeletal anggota badan dan leher atas di kalangan pekerja pejabat? dan Apakah kesan latihan ergonomik pada gangguan muskuloskeletal anggota badan dan leher atas di kalangan pekerja pejabat?
Penghargaan
Koleksi Khas ini dibangunkan oleh Julitta Boschman (Managing Editor, Amsterdam Satellite of Cochrane Work), bekerjasama dengan Jos Verbeek (Co-ordinating Editor, Cochrane Work), Jan Hoving (Deputy Co-ordinating editor and Director, Amsterdam Satellite of Cochrane Work) dan Monaz Mehta (Editor, Cochrane Editorial & Methods Department).
Terjemahan
Koleksi Khas ini telah diterjemah oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Dikemaskini oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). pada 11/1/ 2021.
Kredit imej
Imej Oleh Tang Ming Tung / Getty Images
Hubungi
Jabatan Editorial dan Kaedah Cochrane (emd@cochrane.org)