Tidak melaksanakan penjagaan kesihatan bernilai rendah: keutamaan sumber dalam era pandemik COVID-19

Pandemik COVID-19 dan langkah-langkah yang berkait dengannya telah mendesak keperluan penjagaan kesihatan yang mampan.[1,2] Penyusunan semula penjagaan kesihatan yang pantas dan dorongan untuk memulakan penyelidikan baharu menyumbang beban besar kepada sumber kewangan dan manusia. . Terdapat juga impak besar terhadap penyampaian penjagaan kesihatan di mana penyiasatan dan rawatan rutin tertangguh atau dibatalkan, sekatan pergerakan masyarakat, dan perbelanjaan untuk memerangi COVID-19 yang menyebabkan krisis ekonomi global. Sumber yang tersedia untuk penjagaan kesihatan bukan COVID-19 semakin berkurangan di banyak negara [3] dan mungkin akan terus demikian untuk beberapa waktu akan datang manakala keperluan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan mungkin meningkat akibat diagnosis dan rawatan yang tertangguh. Akibatnya, penjagaan kesihatan global menghadapi cabaran baharu yang besar terhadap kemampanan sistemnya di kedua-dua persekitaran sumber tinggi dan rendah. Adalah penting sumber terhad yang sedia ada untuk penjagaan kesihatan diguna dengan cekap dan efektif. Ia perlu digunakan dengan cara yang akan menjana paling banyak manfaat bagi pesakit terutama bagi mereka yang sangat memerlukannya. Sistem penjagaan kesihatan perlu menyampaikan penjagaan bernilai tinggi, manakala penjagaan bernilai rendah atau tidak cekap perlu dikenal pasti, dikurangkan dengan selamat dan di mana sesuai, dihentikan. Untuk memastikan kemampanan dan kesaksamaan dalam sistem penjagaan kesihatan, keputusan mesti telus, dimaklum oleh bukti boleh percaya dan kukuh serta selaras dengan prinsip ekuiti dan etika.

Koleksi Khas ini menyediakan contoh intervensi intensif sumber termasuk yang memerlukan lawatan penjagaan kesihatan tambahan, di mana terdapat bukti kepastian tinggi atau sederhana ia memberi kesan klinikal kecil atau tiada kesan, dan terdapat juga beberapa bukti mudarat kepada pesakit. Ulasan-ulasan adalah relevan dengan pandemik COVID-19, dan harus memaklumkan garis panduan dan pembuat dasar serta pembuat keputusan perancangan penjagaan kesihatan, semasa dan selepas wabak. Koleksi Khas ini bertujuan sebagai yang pertama dalam satu siri, dengan Koleksi seterusnya memfokus kepada intervensi penjagaan kesihatan lain yang terbukti tidak efektif, memudaratkan atau tidak terbukti.

Lihat juga editorial yang disertakan: Membuat pilihan bijak tentang penjagaan kesihatan bernilai rendah dalam pandemik COVID-19 ; dan Cochrane juga telah menghasilkan blog’ Memilih penjagaan kesihatan dengan bijak apabila sumber terhad '

Pemeriksaan kesihatan umum dalam kalangan dewasa untuk mengurangkan morbiditi dan mortaliti akibat penyakit

Pemeriksaan kesihatan umum yang ditawarkan kepada populasi sihat adalah elemen lazim penjagaan kesihatan dan insurans kesihatan di sesetengah negara. Ia bertujuan mengesan penyakit dan faktor risiko penyakit dalam populasi umum dengan harapan ia akan mengurangkan morbiditi dan mortaliti. Kebanyakan ujian saringan individu yang lazim ditawarkan dalam pemeriksaan kesihatan umum tidak lengkap dikaji, tetapi kerana saringan populasi umum perlukan sumber yang besar dan boleh meningkatkan penggunaan intervensi diagnostik dan terapeutik yang berpotensi mudarat, adalah penting untuk tahu sama ada pemeriksaan kesihatan umum adalah lebih baik atau lebih mudarat.

Ulasan 15 kajian melibatkan kira-kira 250,000 peserta ini memberi bukti kepastian tinggi penambahan pemeriksaan kesihatan regular kepada perkhidmatan perubatan standard memberi sedikit atau tiada kesan ke atas risiko penyakit jantung iskemia, kematian akibat kanser, atau kematian akibat sebarang sebab. Terdapat juga bukti kepastian sederhana sedikit atau tiada kesan ke atas strok atau mortaliti kardiovaskular. Jawapan Klinikal Cochrane yang berkaitan: Apakah kesan pemeriksaan kesihatan am untuk mengurangkan morbiditi dan mortaliti akibat penyakit dalam kalangan dewasa?

Ujian perubatan praoperatif rutin untuk pembedahan katarak

Pembedahan katarak adalah salah pembedahan mata yang lazim dilbuat dan sumber yang besar diperlukan bagi bilangan prosedur yang terus meningkat di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Ini menjadi kritikal untuk mengoptimumkan keselamatan dan keberkesanan kos pembedahan katarak. Kebanyakan operasi ini dibuat dalam kalangan individu yang lebih berumur dengan komorbiditi sistemik dan okular yang tinggi. Ujian perubatan praoperasi rutin mungkin diguna untuk mengesan keadaan-keadaan perubatan ini. Rasional untuk ujian-ujian ini adalah untuk mengesan keadaan perubatan yang akan meningkatkan risiko kejadian buruk pembedahan, yang mungkin bermakna pesakit diminta menangguhkan pembedahan atau memilih prosedur alternatif. Walau bagaimanapun, kebergunaan dan nilai ujian ini adalah tidak pasti, sama ada ia menghalang individu daripada menjalani pembedahan katarak atau menukar pengurusan perioperatif mereka.

Ulasan ini menggunakan data daripada lebih 20,000 pesakit dalam tiga kajian menunjukkan ujian praoperasi rutin dalam kalangan orang yang merancang untuk menjalani pembedahan katarak meningkatkan kos tetapi tidak mengurangkan kesan buruk yang berkait dengan pembedahan atau meningkatkan pembatalan pembedahan. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Apakah manfaat dan mudarat ujian perubatan pra operasi rutin orang dewasa yang sedang menunggu pembedahan katarak?

Pembedahan penyahmampatan subakromial untuk penyakit kaf rotator

Pembedahan untuk penyakit kaf rotator biasanya ditawarkan kepada pesakit selepas intervensi bukan operasi gagal, tetapi terdapat ketidakpastian tentang manfaat klinikal pembedahan penyahmampatan subakromial dan sebarang manfaat atau mudarat yang berpotensi perlu dipertimbang bersama.

Ulasan ini memasukkan lapan kajian (1062 peserta) yang membandingkan pembedahan dengan pembedahan plasebo atau rawatan bukan operasi lain seperti senaman dalam kalangan orang yang mengalami gangguan tendon kaf rotator bahu. Ia menemukan bukti kepastian tinggi pembedahan penyahmampatan subakromial tidak memperbaik kesakitan, fungsi, atau kualiti hidup berkaitan kesihatan berbanding dengan pembedahan plasebo, dan bukti kepastian sederhana tiada peningkatan bilangan orang yang melaporkan kejayaan rawatan. Ulasan mendapati bukti kepastian sederhana risiko kejadian buruk yang serius mungkin kurang daripada 1%, tetapi kejadian sedemikian (termasuk jangkitan dalaman, embolisme pulmonari, kecederaan saraf dan kematian) telah dilaporkan selepas pembedahan bahu. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Bagaimana pembedahan penyahmampatan subakromial berbanding terapi senaman untuk orang dewasa dengan kaf rotator koyak?

VertebroplastI perkutaneous untuk fraktur kompresi vertebra akibat osteoporosis

Fraktur vertebra adalah antara jenis fraktur yang paling lazim dalam kalangan pesakit osteoporosis. Walaupun kebanyakan patah tulang umumnya sembuh dalam masa beberapa bulan, sesetengah orang mengalami sakit dan ketidakupayaan berterusan dan mungkin perlukan kemasukan ke hospital dan rawatan berterusan untuk sakit. Vertebroplasti perkutaneus ialah rawatan pembedahan untuk fraktue kompresi vertebra, dan telah diterima pakai meluas dalam amalan klinikal. Rawatan tersebut melibatkan suntikan simen gred perubatan ke dalam vertebra yang patah, di bawah sedasi ringan atau anestesia umum. Simen tersebut mengeras di dalam ruang tulang untuk membentuk sebuah acuan dalaman. Walau bagaimanapun, manfaat dan mudarat prosedur ini masih dibahaskan.

Ulasan ini memasukkan sejumlah 21 kajian di mana lima kajian dengan 535 peserta menemui bukti kepastian sederhana hingga tinggi bahawa vertebroplasti berbanding plasebo memberi sedikit atau tiada manfaat terhadap sakit, ketidakupayaan, kualiti hidup atau kejayaan rawatan. Tambahan pula, prosedur tersebut boleh menyebabkan kejadian buruk serius seperti kompresi saraf tunjang akibat simen bocor keluar dari tulang; simen bocor ke dalam aliran darah yang membawa kepada emboli simen ke dalam paru-paru dan perforasi jantung; fraktur tulang rusuk; jangkitan; komplikasi anestetik dan kematian. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Dalam kalangan orang dengan fraktur kompresi vertebra osteoporotik bagaimanakah vertebroplasti perkutaneus berbanding plasebo?

Ambang transfusi dan strategi lain untuk membimbing transfusi sel darah merah alogenik

Pada masa lalu terdapat perdebatan tentang ambang hemoglobin yang harus diguna untuk mencetus transfusi sel darah merah bagi pesakit anemia. Strategi transfusi restriktif menggunakan tahap hemoglobin lebih rendah untuk mencetus transfusi (paling biasa 7 g/dL atau 8 g/dL) menghasilkan kurang transfusi berbanding strategi liberal (paling biasa 9 g/dL hingga 10 g/dL). Ini penting kerana darah adalah sumber yang terhad, dan transfusi darah kurang selamat di sesetengah negara berbanding negara lain kerana kurangnya ujian untuk patogen virus. Oleh itu, mengurangkan bilangan dan isipadu transfusi yang tidak perlu akan memanfaatkan pesakit.

Ulasan ini mengenal pasti 31 kajian dengan lebih 12,000 peserta merentasi pelbagai bidang klinikal. Ia menemui bukti kepastian sederhana atau tinggi strategi transfusi darah restriktif mengurangkan hampir separuh bilangan transfusi berbanding strategi liberal tanpa mengimpak mortaliti atau morbiditi 30 hari. Jawapan Klinikal Cochrane yang berkaitan: Bagaimanakah ambang restriktif berbanding ambang yang lebih liberal untuk orang yang memerlukan transfusi sel darah merah?

Strategi susulan untuk pesakit yang dirawat untuk kanser kolorektal bukan metastatik

Pesakit dengan kanser kolorektal sering disusul selama beberapa tahun selepas pembedahan kuratif atau terapi adjuvan. Ini memerlukan lawatan khas ke penjagaan kesihatan tetapi terdapat kontroversi tentang kekerapan pesakit harus dilihat, apakah ujian yang perlu dibuat ke atas mereka, dan apakah impak susulan ini terhadap hasil pesakit.

Ulasan ini menggunakan bukti daripada 19 kajian dengan lebih 13,000 peserta menunjukkan bukti kepastian tinggi tentang sedikit atau tiada manfaat survival keseluruhan berbanding susulan intensif selepas pembedahan kuratif untuk kanser kolorektal. Begitu juga, terdapat bukti kepastian sederhana susulan intensif tidak mengurangkan mortaliti akibat kanser kolorektal secara khusus. Walau bagaimanapun, lebih ramai peserta telah dirawat dengan pembedahan penyelamatan dengan tujuan kuratif dalam kumpulan susulan intensif. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Bagi orang yang dirawat untuk kanser kolorektal bukan metastatik, bagaimanakah perbandingan intensiti susulan yang berbeza?

Interval susul kembali kesihatan oral dalam kalangan pesakit di penjagaan primer

Terdapat perdebatan berterusan tentang kekerapan pesakit perlu menjalani pemeriksaan pergigian, dan kesan ke atas kesihatan mulut dengan selang masa yang berbeza antara pemeriksaan. Syor tentang selang susulan optimum berbeza-beza di banyak negara dan sistem penjagaan kesihatan pergigian, tetapi pemeriksaan pergigian setiap 6 bulan secara tradisinya dianjurkan oleh pengamal pergigian am di kebanyakan negara berpendapatan tinggi.

Ulasan ini mendapati sama ada orang dewasa menjalani pemeriksaan pergigian setiap enam bulan, atau pada selang masa peribadi berdasarkan penilaian doktor gigi mereka terhadap risiko penyakit pergigian tidak mempengaruhi kerosakan gigi, penyakit gusi atau kualiti hidup. Ia juga mendapati selang masa yang lebih lama (sehingga 24 bulan bagi mereka yang berisiko rendah) antara pemeriksaan mungkin tidak membawa hasil yang lebih buruk. Bukti kepastian tinggi, terutamanya daripada satu kajian berisiko bias rendah yang melibatkan hampir 2400 dewasa, menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan antara susulan berasaskan risiko, 6-bulan dan 24-bulan dalam amaun karies, perdarahan gusi dan kesihatan mulut berkaitan. kualiti hidup untuk tempoh 4 tahun. Jawapan Klinikal Cochrane Berkaitan Apakah selang susulan optimum untuk pemeriksaan pergigian?

Penskaleran dan penggilapan rutin untuk kesihatan periodontium dalam kalangan orang dewasa

Terdapat perdebatan mengenai keberkesanan klinikal dan kos penskalaan dan penggilapan rutin dan kekerapan optimum yang perlu disediakan untuk orang dewasa yang sihat. Ulasan ini menilai kesan penskaleran rutin dan rawatan penggilapan untuk orang dewasa sihat bagi menentukan sama ada pelbagai selang masa susulan di antara rawatan mempengaruhi kesan-kesan ini, dan untuk membandingkan keberkesanan rawatan apabila diberikan oleh doktor gigi berbanding rawatan oleh ahli terapi pergigian atau pakar higin.

Ulasan ini menyertakan dua kajian dengan 1711 peserta. Kedua-dua kajian dijalankan dalam amalan pergigian am dan melibatkan orang dewasa tanpa periodontitis teruk yang merupakan pesakit regular temu janji pergigian. Kajian mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara rawatan penskaleran dan penggilapan regular terancang berbanding tanpa penskaleran dan penggilapan berjadual untuk tanda-tanda awal penyakit gusi (gingivitis atau gusi berdarah, deposit plak, dan kedalaman poket gusi). Terdapat penurunan kecil dalam paras kalkulus (tartar), tetapi adalah tidak pasti jika ia penting untuk pesakit atau doktor pergigan mereka. Peserta yang menerima rawatan penskaleran dan penggilapan setiap 6 - dan 12 - bulan melaporkan rasa gigi mereka lebih bersih berbanding mereka yang dijadualkan untuk tidak menerima rawatan. Walau bagaimanapun, tidak terdapat perbezaan antara kumpulan-kumpulan dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan mulut. Jawapan Klinikal Cochrane yang berkaitan: Bolehkah rawatan penskaleran dan penggilapan rutin setiap 6-bulan atau 12-bulan memperbaik kesihatan periodontium dalam kalangan dewasa yang sihat?

Tentang Koleksi Khas ini:

Rujukan

1. Moynihan R, Johansson M, Maybee A, Lang E, Légaré F. Covid-19: peluang untuk mengurangkan penjagaan kesihatan yang tidak perlu. BMJ 2020;370:m2752 https://doi.org/10.1136/bmj.m2752

2. Moynihan R, Sanders S, Michaleff ZA, Scott AM, Clark J, To EJ, et al. Impak pandemik COVID-19 terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan: ulasan sistematik. BMJ Open 2021;11:e045343. https://doi.org/10.1136/bmjopen-2020-045343

3. Pertubuhan Kesihatan Sedunia. COVID-19 terus mengganggu perkhidmatan kesihatan penting di 90% negara. 23 April 2021. www.who.int/news/item/23-04-2021-covid-19-continues-to-disrupt-essential-health-services-in-90-of-countries

Penghargaan

Projek Koleksi Khas ini dibangunkan oleh Dina Muscat Meng (Penjagaan kesihatan Mampan Cochrane , Cochrane Denmark, Cochrane Sweden), Eva Madrid (Cochrane Chile), Juan Franco (Cochrane Argentina), Karin Kopitowski (Cochrane Argentina), Karsten Juhl Jørgensen (Cochrane Denmark), Mike Clarke (Kaedah-kaedah Cochrane) dan Minna Johansson (Penjagaan Keshatan Cochrane, Cochrane Sweden). Para penyumbang ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga Cochrane yang bermurah hati menyumbang untuk membantu menghasilkan dan menyebarkan Koleksi Khas ini.

Terjemahan

Koleksi Khas ini telah diterjemah oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Dikemskini oleh Nila Pillai (Cocrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) pada 29/08/2022.

Kredit imej

Cecilie_Arcurs/GettyImages

Hubungi

Jabatan Editorial dan Kaedah Cochrane (emd@cochrane.org)